Tutup

Berita  | Sukan

Tahun peralihan tidak wujud buat Real Madrid

Tahun peralihan tidak wujud buat Real Madrid
Ernesto Valverde. Foto Astro ARENA
PENGENDALI Barcelona, Ernesto Valverde, tidak melihat sebab untuk Real Madrid memerlukan peralihan selama setahun selepas pemecatan Julen Lopetegui.

Bekas pengurus Sepanyol, Lopetegui, dipecat kelmarin susulan kekalahan 5-1 di tangan Barca sehari sebelumnya di Camp Nou, yang menyaksikan Madrid hanya mencatat satu kemenangan dalam tujuh perlawanan.
Santiago Solari dipilih selaku pengurus sementara buat skuad utama Madrid sambil pengganti tetap masih dicari dan nama seperti Antonio Conte dan Roberto Martinez disebut-sebut menjadi pilihan.

Walaupun tiada kepastian untuk jawatan pengurus di Santiago Bernabeu, Valverde tidak percaya Madrid patut diketepikan daripada bersaing dalam kejuaraan utama musim ini.
"Saya tidak rasa ia akan berlaku," kata Valverde ketika ditanya jika Madrid melalui tahun peralihan.

"Madrid adalah seperti kami dan mereka akan memberikan reaksi, saya tidak meraguinya. Mereka tidak berada dalam kelompok teratas tetapi masih awal.

"Saya tidak tahu jika Madrid lebih berbahaya atau tidak dengan kehadiran Solari di bangku simpanan. Saya berkata sebelum ini bahawa Madrid sentiasa berbahaya dan bergelar seteru utama untuk kejuaraan.

"Mereka berada dalam semua kejohanan dan akan cuba memenangi kejuaraan, sama seperti apa yang akan kami lakukan," ujarnya.

Pemecatan Lopetegui telah disahkan melalui kenyataan keras daripada Madrid, di mana kelab itu menegaskan tentang perbezaan ketara di antara keputusan dan kekuatan skuad yang dimiliki.

Namun, Valverde menolak untuk memberi kenyataan terhadap situasi itu.

"Tiada apa yang boleh saya katakan mengenai kenyataan yang dilakukan oleh kelab lain. Saya hanya boleh kata bahawa saya tidak suka apabila jurulatih dipecat," tambahnya.

"Kami berada dalam dunia bola sepak dan sedar bagaimana ia berlaku. Semuanya adalah sebahagian daripadanya.

"Terdapat turun naik dan jika anda menang, ia tenang di mana apa yang disasarkan dan jika tewas, segalanya huru-hara."

Barca bakal berdepan Cultural Leonesa dalam saingan Copa Del Rey awal pagi esok dan akan beraksi buat kali pertama sejak aksi El Clasico, di mana ia perlawanan pertama buat Valverde sejak memegang jawatan di Camp Nou sejak mengambil-alih jawatan pengurus pada 2017.

Dia menafikan bahawa keputusan yang diraih Ahad lalu telah mengubah kehidupan hariannya.

"Saya tetap sama seperti seminggu lalu dan minggu sebelum itu. Orang ramai gembira dan ia membuatkan segalanya tenang," ujar Valverde.

"Saya kecewa kerana saya fikir saya miliki kuasa ajaib tetapi sebenarnya tidak!"




Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro