Berita  | Sukan

Teknologi VAR dapat kecaman pengurus, penyokong, pemain

Teknologi VAR dapat kecaman pengurus, penyokong, pemain
Harry Kane bertembung dengan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga pada perlawanan separuh akhir Piala Carabao pada Selasa. REUTERS
WALAUPUN mendapat kelebihan daripada keputusan video bantuan pengadil (VAR) dalam separuh akhir pertama Piala Carabao pada Selasa (waktu UK), pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino tidak selesa dengan kemenangan dengan cara itu.

Tottenham mendapat sepakan penalti selepas pengadil perlawanan, Michael Oliver merujuk semula VAR untuk memastikan penyerang pasukan itu, Harry Kane tidak berada dalam posisi ofsaid sebelum dijatuhkan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Begitu juga pengurus Chelsea, Maurizio Sarri yang menganggap keputusan yang dibuat pengadil selepas melihat semula insiden itu menerusi VAR tidak tepat.

Pasukan itu turut mengeluarkan sebuah gambar sebagai bukti yang dikatakan bertentangan dengan keputusan VAR.
Gambar tersebut diambil daripada kamera pasukan itu yang menunjukkan Kane berada pada posisi ofsaid dimana kepala dan lutut penyerang antarabangsa England itu melepasi garisan.

“Bagi saya, pengadil di England tidak bersedia untuk menggunakan sistem VAR,” kata Saari.

Sementara itu Pochettino mengkritik keras penggunaan teknologi VAR, walaupun ia memberi gol kemenangan kepada pasukannya.

“Saya tidak suka VAR. Hari ini kami mendapat kelebihan tetapi selepas menonton Piala Dunia dan liga lain seperti La Liga, saya rasa tiada seorang pun berpuas hati sejak hari pertama ia digunakan,” katanya.

VAR digunakan di saingan Piala Carabao dan saingan Piala FA Inggeris musim ini sudahpun mendapat kritikan daripada pemain, pengadil dan juga penyokong.

Penyokong meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat pengadil selepas merujuk kepada VAR, namun terdapat juga yang mempertahankan keputusan itu.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Wembley pada awal pagi Rabu waktu Malaysia itu, Spurs melakar kemenangan tipis 1-0 hasil sepakan penalti Kane pada minit ke-26.


Gol itu sudah memadai buat Spurs membawa bekalan kelebihan satu gol ke separuh akhir kedua di Stamford Bridge pada 22 Januari.