Tidak mustahil perlumbaan Formula Satu (F1) akan dianjurkan semula di negara ini memandangkan beberapa permintaan daripada syarikat korporat yang mula memberi minat terhadap sukan itu.

Pengedar rasmi barangan F1 Malaysia Datuk K. Sethambaram Ram berkata, tidak ada pihak boleh menafikan kekuatan sukan itu termasuk semangat peminat mereka selepas kejohanan bola sepak Piala Dunia.

"Saya sudah mengikuti sukan F1 ini lebih dari 14 tahun dan ramai menganggap Malaysia sudah terkeluar dari sukan ini selepas mengumumkan tidak menganjurkannya lagi tahun hadapan.

"Kalau kita lihat sejarah F1 dari 1999 sehingga sekarang, tidak banyak negara yang boleh menganjurkannya sehingga 19 tahun seperti Malaysia. Kita antara negara yang berjaya menganjurkan sukan ini 19 tahun berturut-turut.

"Ada negara yang menganjurkannya selama hanya 10 tahun kemudian berhenti. Kita antara lima negara di dunia yang berjaya menganjurkannya tanpa gagal dalam 19 tahun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

BACA: Malaysia tidak lagi anjur F1 tahun depan

BACA: 'Wujudkan akademi F1 untuk rakyat Malaysia' - K.S. Param

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata, Malaysia tidak lagi menganjurkan perlumbaan F1 selepas kerajaan bersetuju menamatkan kontrak penganjuran mulai tahun depan.

Jelas Datuk Seri Najib, kontrak itu terpaksa ditamatkan berikutan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding kos penganjuran sejak 1999.

Dalam pada itu kata Sethambaram, legasi kecemerlangan negara dalam menganjurkan sukan F1 tidak akan hilang kerana trek lumba masih kekal di Sepang.

"Jelas Petronas masih lagi menaja F1. Kemungkinan besar bagi saya dalam dua tiga tahun ini kemungkinan F1 akan kembali semula ke Malaysia kerana sudah ada ura-ura beberapa syarikat atau individu korporat sudah menyatakan minat terhadapnya.

"Mereka mahu bawa kembali F1 kerana kebanyakan dunia menganggap F1 merupakan platform terbaik untuk mempromosi sukan.

"Selepas beberapa kejohanan sukan besar dunia, F1 merupakan pilihan. Ada yang kata jika kita tidak ada F1 maknanya kita tidak ada pubilisiti dalam sukan lagi," jelasnya.

BACA: Litar Antarabangsa Sepang bukan hanya perlumbaan F1 - Pengerusi SIC

BACA:
SIC lancar tema 'F1NALE' bagi perlumbaan terakhir F1 Malaysia 2017

Tambahnya, isu kerajaan tidak lagi mahu menganjurkan F1 bukan lagi halangan utama.

"Seperti yang saya jelaskan tadi, ada yang sanggup menaja dan ia mungkin menjadi kenyataan dalam masa dua tahun ini.

"Ada khabar yang mengatakan Johor akan menjadi penganjur F1 dalam masa dua tahun lagi, mungkin sebab itu trek lumpa di sana sedang dibangunkan semula. Jadi saya rasa penamatan itu hanya sementara sahaja," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sethambaram menjelaskan, hasratnya mewujudkan Akademi F1 sebelum ini tidak akan terkubur begitu sahaja.

"Saya rasa cita-cita dan peluang untuk menubuhkan akademi menjadi semakin besar kerana sesiapa yang mahu menyertai F1 kini hanya ada platform Petronas dan mereka perlu mencari sumber lain selainnya.

"Siapa yang boleh beri platform itu sekarang? Saya masih ada lesen F1 yang sah untuk mengedar barangan F1 sekali gus bermaksud hanya saya boleh mempromosi F1 di rantau ini dan jika hendak dikatakan di dalam Asia, ia tidak mustahil," katanya.

Katanya lagi, tidak mustahil masyarakat akan merindui F1 selepas dua atau tiga tahun dan penubuhan akademi akan menjadi batu loncatan kepada realiti kembalinya F1.

"Saya beri bayangan penubuhan akademi itu akan menjadi lebih cepat kerana tidak lagi perlu menunggu kerajaan. Dahulu kerajaan merupakan 'saingan' namun sekarang saya bebas untuk membuka akademi pada bila-bila masa sahaja.

"Saya boleh bekerjasama dengan negara lain yang sanggup bersama dan kita boleh menghantar pemandu F1 untuk sesi latihan yang diperlukan," jelasnya.

Sethambaram sebelum ini menyarankan kerajaan mewujudkan akademi untuk memberi pendedahan kepada rakyat negara ini tentang perlumbaan F1.

Tegasnya, ia sekali gus membuka peluang kepada rakyat negara ini untuk mengenali sukan itu dengan lebih mendalam.