Skuad wushu negara yang mempamerkan prestasi hambar sepanjang Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 menamatkan saingan tanpa sebarang pingat selepas acara taolu melabuhkan tirai di Dewan B, Pusat Expo Antarabangsa Jakarta, Kemayoran, di sini hari ini.

Kegagalan skuad itu membaiki pencapaian pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan yang menyaksikan Malaysia pulang dengan tangan kosong, menimbulkan persoalan sama ada pasukan tersebut perlu diberi peluang untuk dihantar atas kategori A (perbelanjaan ditanggung sepenuhnya) pada kejohanan akan datang.

Pasukan itu dihantar ke Sukan Asia 2018 atas kategori A dengan sasaran dua pingat oleh Majlis Olimpik Malaysia.

Perkara itu diakui oleh Presiden Persekutuan Wushu Malaysia Datuk Chong Kim Fatt yang memohon maaf atas kegagalan Malaysia meraih sebarang pingat pada edisi ke-18 Sukan Asia.

"Kami akan fikirkan jalan penyelesaian untuk memulihkan imej sukan ini dan apa yang saya boleh cadangkan ketika ini ialah pihak persatuan akan mengadakan kerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi kebaikan jangka panjang," kata Chong ketika ditemui pemberita Malaysia selepas aksi terakhir acara berkenaan.

Hanya Tan Cheong Min dan Phoon Eyin menampilkan persembahan terbaik selepas menduduki tangga keempat, masing-masing dalam acara gabungan Nanquan dan Nandao serta Jianshu dan Qiangshu.

Juara dunia 2017, Wong Weng Son juga gagal menepati ramalan apabila hanya menduduki tangga kesembilan daripada 17 peserta dalam acara Changquan lelaki.

Atlet elit, Loh Jack Chang yang membuat penampilan terakhir pada Sukan Asia, turut gagal beraksi cemerlang setelah menduduki tangga ke-10 daripada keseluruhan 16 peserta dalam acara gabungan Taijiquan dan Taijijian pada aksi hari ini.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia ialah pada edisi 2006 di Doha, Qatar iaitu satu emas menerusi Chai Fong Ying dan dua gangsa yang disumbangkan oleh Diana Bong dan Ng Shin Yii.

-- BERNAMA