"Saya biasanya bangun sekitar pukul 2 atau 3 pagi untuk menyediakan makanan bersahur. Biasalah bila di dapur mesti suasana agak bising dengan bunyi periuk dan microwave.

"Jiran pernah menegur saya tentang bunyi bising itu," demikian kongsi Rohaya Saad, 40, yang kini menetap di Copenhagen, Denmark.

Pengalaman ditegur jiran itu sering membuat wanita ini tersenyum dan pasti akan menjadi antara kenangan berpuasa di perantauan.

Rohaya menetap di Copenhagen sejak Januari 2000 bersama suaminya, Haizan Ismail, 52, yang bekerja di sebuah restoran dan dua orang anak, Manissha, 18, dan Daniel Irfan, 15 tahun.

"Kami tinggal di kawasan yang majoriti penduduknya orang tempatan dan bukan beragama Islam. Jadi memang mencabar sangat bila nak masak pada pukul 2 pagi untuk bersahur. Tingkap tak boleh dibuka walaupun panas sebab pernah ada orang mengadu kami buat bising kerana bunyi periuk belanga.

"Sampaikan ada yang mengadu kepada ketua kawasan rumah kami dan minta imam buat pengumuman di masjid agar kami jangan bising sangat bila memasak waktu sahur," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp, apabila diminta berkongsi pengalaman menyambut Ramadan di Denmark.

Penulis mengenali Rohaya daripada rakan karib yang kini menetap di Hamburg, Jerman.

Paling menarik rumah kediaman Rohaya terletak betul-betul di hadapan Hamad Bin Khalifa Civilisation Center atau lebih dikenali sebagai Grand Mosque of Copenhagen.

"Setiap kali datang Ramadan, masjid ini meriah dengan pelbagai aktiviti keagamaan, tambahan ada disediakan juadah iftar yang ditaja oleh orang ramai termasuk orang kaya dari Qatar," katanya.

Rohaya yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang memberitahu penulis, pengalaman paling seronok sepanjang menetap di Copenhagen pastinya berpuasa pada musim sejuk 2000.

"Sahur habis dalam pukul 6.30 pagi dan berbuka pukul kira-kira 4 petang. Memang tak terasa langsung berpuasa. Tapi sekarang, adalah nak dekat 20 jam berpuasa dan ditambah cuaca semakin panas sejak hari pertama Ramadan.

"Berbanding tahun lepas, tak banyak sangat beza cuma tahun lepas, cuaca dingin sikit dan selalu juga hujan. Tapi kemeriahan Ramadan, tak pernah berubah, " ujarnya.

Masjid terbesar di Eropah

Mengenai Hamad Bin Khalifa Civilisation Center yang juga masjid terbesar di Eropah, Rohaya berkata beliau berasa sebak setiap kali melihat mereka yang bukan orang Islam memasuki bangunan penuh berkat itu.

"Kami yang Muslim di sini sangat bersyukur walaupun Denmark ni bukan negara Islam tapi orang Islam boleh membangunkan sebuah masjid besar seperti ini dan menerima kunjungan daripada orang bukan Islam yang mahukan maklumat mengenai agama ini atau sekadar melakukan lawatan," katanya.

Beliau berkata semasa masjid itu dibuka pada 2014, ramai orang bukan Islam datang melawat termasuk para guru bukan Islam yang membawa pelajar mereka datang melawat masjid berkenaan.

"Adakalanya saya melihat melalui tingkap depan rumah dan nampak orang bukan Islam masuk ke masjid. Bagi saya, itu satu pemandangan yang sangat menyenangkan dan menyeronokan. Secara tak langsung, persepsi mereka terhadap orang Islam yang anggap Muslim ni tidak baik dapat diperbetulkan, " katanya.

Bagi Rohaya semuanya itu pengalaman yang paling berharga menetap di Denmark, apatah lagi rumah yang mereka diami terletak di hadapan masjid besar Copenhagen.

"Paling teruja bila masuk waktu solat. Orang yang datang berjemaah dari pelbagai negara dan masa tu jugalah dapat jumpa pelancong dari Malaysia. Bila berbual, terubatlah sedikit rindu pada tanah air dan terutama pada bazar Ramadan bila bulan puasa begini," katanya mengakhiri perbualan.

-- BERNAMA