Bagi seorang kerani, Juliana Hamdan, sambutan Aidilfitri pasti tidak akan lengkap sekiranya tidak meneruskan tradisi menghantar kad raya kepada kenalan rapat dan saudara mara kerana budaya itu telah diamalkannya sejak zaman persekolahan lagi.

Namun bimbang budaya itu akan lapuk ditelan zaman, sejak dua tahun lepas wanita berusia 34 tahun itu mengambil inisiatif menghantar kad raya kepada individu yang tidak dikenali bagi menghidupkan kembali nostalgia mengirim dan menerima kad raya.

Memperuntukkan RM200 bagi tujuan itu, Juliana berkata apabila tiba sahaja bulan Ramadan, beliau akan meminta orang ramai termasuk kenalan di laman sosial yang ingin menerima kad raya supaya menghantarkan alamat mereka secara mesej peribadi ke akaun Instagram ''jhmdn'' miliknya sebelum mula mengarang ucapan kepada mereka.

"Semasa zaman remaja dulu, saya selalu teruja dan penuh pengharapan setiap kali posmen tiba di kawasan perumahan saya untuk menghantar kad raya kerana benda kecil macam ini yang menimbulkan perasaan teruja untuk menyambut hari raya.

"Sekarang suasana raya pun kurang dirasai tidak macam zaman dahulu, jadi saya ambil pendekatan hantar kad raya kepada orang ramai secara rawak termasuk mereka yang tidak saya kenali sebab saya tidak mahu budaya ini hilang begitu sahaja," katanya kepada Bernama.

Menariknya usaha yang dilakukan itu turut mendapat sambutan daripada mereka yang belajar dan menetap di luar negara seperti Australia serta Sweden dan kebiasaannya permintaan itu pasti dipenuhinya bagi menaikkan semangat mereka yang jauh di perantauan untuk menikmati kemeriahan Aidilfitri.

Bagi pelajar jurusan pengurusan kejuruteraan awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad ''Ariff Putra Ansaruddin Agus, 26, yang telah menjalankan ''Projek Kad Raya'' sejak tiga tahun lepas pula memperuntukkan sekurang-kurangnya RM350 setahun bagi kos pembelian kad, sampul surat dan setem untuk dikirim kepada orang ramai.

Lebih mengujakan pada tahun lepas, individu yang telah menghantar alamat menerusi Twitter @ariffansar dan Facebooknya juga berpeluang mendapat duit raya yang turut diselitkan dalam kad raya yang dikirim.

"Saya selalu membeli beberapa dozen kad yang dijual dengan harga yang berpatutan namun saya akan cuba cari kad yang unik dan cantik asalkan tidak melebihi bajet saya dan kebiasaannya kad tersebut tiada muzik, hanya berbentuk poskad.

"Dalam kad raya, saya akan tulis kata-kata mutiara dan nasihat serta ucapan terima kasih kerana memeriahkan Projek Kad Raya dan istimewanya pada tahun lepas saya selitkan duit raya RM6 pada setiap kad tersebut. Tapi sejujurnya tidak boleh buat selalu, nanti bajet saya lari," katanya.

Tahun lepas sahaja lebih 70 kad raya telah dihantar kepada orang ramai dan separuh daripadanya dikirim kepada mereka yang tidak dikenalinya, malah beliau turut memenuhi permintaan mereka yang ingin memiliki pelbagai jenis kad raya, antaranya kad bermuzik, pantun, mahupun corak kartun.

"Bagi saya, budaya kad raya ini salah satu kenangan zaman sekolah namun ia makin terhakis dengan teknologi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi WhatsApp, sebab itu saya cuba merealisasikan budaya menghantar kad raya ini kepada kenalan saya, dan kemudian diperluas kepada orang lain sama ada saya kenal melalui media sosial ataupun tidak kenal langsung.

"Apa yang saya buat ini sekadar untuk berkongsi kegembiraan dengan orang lain menerusi cara yang berbeza kerana sekurang-kurangnya si penerima menjadi gembira dan teringatkan kenangan zaman muda dahulu, dan saya juga dapat pahala kerana membuat orang gembira selain mengeratkan silaturahim sesama umat Islam," katanya.

Biarpun inisiatif anak muda ini kadang-kala tidak dibalas dengan kiriman semula, Muhammad ''Ariff Putra berkata beliau akan tetap meneruskan tradisi tersebut selagi tidak membebankan diri kerana baginya wang dan masa hanya dilaburkan setahun sekali. Malah beliau teruja apabila tahun ini sahaja telah menerima permintaan untuk mengirim 100 kad raya.

"Ada juga yang balas balik berupa kad, ada yang balas melalui Instagram atau Twitter di mana mereka akan memuat naik gambar kad itu dan ucapkan terima kasih kepada saya, ada juga yang tidak balas mungkin kerana saya tidak letak alamat.

"Tetapi itu semua tidak menghalang saya teruskan tradisi ini kerana niat saya untuk mengembalikan kenangan zaman di mana kita terhibur dengan jumlah kad yang dapat

Selain itu, saya dapat mengeratkan silaturahim kepada penerima kad kerana ada sebelum ini kami hanya berkawan melalui media sosial sahaja namun selepas dapat kad raya, kami menjadi lebih rapat dan lebih kerap berborak," katanya.

Anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini turut mengajak ibu bapa untuk mula mendidik anak mereka bersama-sama menghidupkan budaya mengirim kad raya bagi memastikan kemeriahan Aidilfitri yang disambut setahun sekali tidak pupus ditelan zaman peredaran masa dan pembangunan teknologi.

-- BERNAMA