Orang ramai kini berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat tepat mengenai pelbagai isu kesihatan di negara ini termasuk vaksinasi daripada sekumpulan 30 doktor perubatan melalui laman Facebook.

Menerusi 'Medical Mythbusters Malaysia (M3), komuniti doktor itu yang mempunyai kepakaran dalam penjagaan kesihatan dan perubatan, bersedia berkongsi maklumat benar, tepat dan sahih mengenai isu kesihatan.

Dr Mohd Syamirulah Rahim yang mengasaskan M3 berkata platform di Facebook bertujuan menangkis dan menjawab pelbagai fitnah dan mitos yang dilemparkan terhadap bidang perubatan khususnya di Malaysia di samping menawarkan alternatif kepada orang awam bagi mendapatkan maklumat tepat.

"Inisiatif ini turut diperkasakan dengan kerjasama perkongsian fakta dan berita dari pelbagai sektor terutama Kementerian Kesihatan dan organisasi- organisasi bukan kerajaan yang aktif dalam bidang perubatan.

"Rangkaian maklumat yang dijana menerusi kerjasama ini bakal memberi impak yang kuat dan bermanfaat buat rakyat," katanya pada sidang media selepas pelancaran M3 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di sini hari ini.

Antara topik yang pernah dikupas di M3, yang beroperasi secara rasmi pada 24 Mei lepas, adalah mengenai peningkatan penyakit berjangkit dan kepentingan imunisasi, isu bersalin di dalam air dan aspek keibuan selamat serta etika kewartawanan dalam melaporkan maklumat kesihatan.

Sehingga kini, M3 menerima sejumlah 22,459 'likes' dan antara topik yang menjadi tumpuan masyarakat adalah mengenai isu pemimpin agama menolak imunisasi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam sidang berita sama, berkata M3 merupakan platform yang membolehkan doktor perubatan berkomunikasi dengan rakyat di samping mengenal pasti dan mendengar pelbagai isu kesihatan yang dibangkitkan dan memberikan maklum balas secara kolektif dengan tepat dan cepat.

Beliau berkata orang ramai perlu dididik mengenai pelbagai isu kesihatan yang melanda negara ini terutamanya isu vaksinasi yang cuba dikelirukan oleh sesetengah pihak walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf kaedah vaksinasi sebagai inisiatif terpenting kedua di peringkat global untuk menyelamatkan nyawa.