Malaysia Hotel, yang terletak di tengah-tengah kota metropolis ini, adalah sebuah hotel serba sederhana yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan Malaysia, sungguhpun ia berkongsi nama dengan negara berjiran di selatan Thailand.

Namun di luar pengetahuan banyak pihak tentang perniagaan yang dikendalikan sebuah keluarga ini, Malaysia Hotel yang kini berusia 50 tahun dan baru menyambut jubli emas penubuhannya, mendapat tempat sangat istimewa di hati penggemar filem Hollywood serta peminat seorang aktor tersohor yang mengejutkan dunia apabila dia membunuh diri ketika kerjayanya sedang berada di kemuncak.

Hotel ini, diasaskan usahawan yang juga imigran dari China, Peng Hui Saebae pada 1967, menjadi tuan rumah kepada bintang komedi Hollywood, Robin Williams semasa penggambaran filem 'Good Morning Vietnam', pada 1987 yang memenangi anugerah.

"Mereka (kru filem) berada kira-kira sebulan di sini. Robin Williams datang dan melakukan penggambaran filem itu di sini," kata anak perempuan Saebae yang berumur 73 tahun, Mayuree Rungsaeng kepada Bernama dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Malaysia Hotel yang terletak di tengah kota Bangkok baru sahaja menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya. - BERNAMA
Wanita itu yang turut membantu mengendalikan hotel semasa penggambaran filem Hollywood itu dijalankan pada 1980-an, berkata sebuah daripada bilik di tingkat dua hotel itu diubah suai dengan terperinci agar kelihatan seperti sebuah studio radio.

Filem komedi-perang yang membolehkan Williams meraih gelaran Aktor Terbaik Golden Globe Award bagi filem cereka muzikal atau komedi dan pencalonan bagi Academy Award serta beberapa anugerah lain, turut dibintangi seorang lagi pelakon hebat Hollywood, Forest Whitaker.

Dalam filem arahan Barry Levinson, Williams yang menemui ajal dengan tragik setelah membunuh diri pada 2014, melakonkan watak seorang DJ radio, 'Adrian Cronauer', satu lakonan yang bukan sahaja membolehkannya membawa pulang anugerah berprestij, tetapi juga menambat hati peminat setia di seluruh dunia.

Hotel itu, kata Mayuree, juga menerima banyak tetamu daripada pegawai tentera Amerika semasa perang Vietnam, sama ada untuk rehat dan santai atau menyertai tugas rasmi bagi Kumpulan Penasihat Ketenteraan Bersama Amerika Syarikat (JUSMAG), tidak jauh dari situ.

Malaysia Hotel juga menerima banyak tetamu daripada pegawai tentera Amerika semasa perang Vietnam. - BERNAMA
Menurut anak perempuannya, Chanthiman Rungsaeng yang kini merupakan pengarah urusan hotel itu, Williams tidak menginap di Malaysia Hotel sepanjang penggambaran filem dijalankan, tetapi hanya datang untuk penggambaran filem itu.

Ditanya bagaimana keluarganya mendapat ilham untuk menamakan premis itu sebagai 'Malaysia Hotel', beliau berkata ia timbul daripada hasrat untuk mengekalkan nama keturunannya iaitu 'Ma' yang menyebabkan keluarga itu menamakan hotel berkenaan dengan nama sebuah daripada negara di Asia Tenggara.

"Nama keluarga kami ialah 'Ma', jadi keluarga saya buat keputusan untuk menamakannya sebagai Malaysia Hotel, jadi hotel ini membawa nama keluarga saya dan Malaysia... senang untuk dikenali dan diingati pelanggan," jelas beliau tentang hotel 130 bilik itu yang terletak di kawasan Sathorn di Bangkok.

'Ma' dalam bahasa Mandarin bermaksud 'kuda', katanya, justeru sebuah patung kuda diperbuat daripada besi diletakkan di pintu masuk hotel sebagai lambang menyambut tetamu.

Hotel ini baru sahaja diubah suai besar-besaran bersempena ulang tahun ke-50 sambil pelbagai usaha dilakukan untuk memikat kedatangan pelanggan baharu berikutan persaingan yang semakin sengit daripada hotel lain di kawasan berkenaan, kata Chanthiman.

Dalam pengubahsuaian yang siap dilakukan pada September lepas, sebahagian besar daripada hotel itu dicat dengan warna kuning emas bersempena sambutan jubli emas, kebetulan sama dengan warna kebangsaan Malaysia, katanya.

Hotel itu tidak banyak menerima tetamu dari Malaysia, namun pengusahanya berhasrat untuk meningkatkan jumlah itu dengan cara, misalnya, menyediakan lebih banyak makanan dan juadah Malaysia di samping makanan halal.

"Kami juga berharap keunikan nama kami, Malaysia Hotel, akan menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menginap di premis kami," kata Chanthiman, dan menambah, harga bilik standard bermula daripada kira-kira 900 Baht (RM113) semalam.

-- BERNAMA