Ribuan pelita menghiasi kampung dan taman perumahan di bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu bagi menyambut kepulangan perantau menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Awang berkata program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pertubuhan belia.

Menurut Tengku Putera, disamping menceriakan suasana malam, aktiviti berkenaan juga bertujuan untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Jadi keseluruhan kampung nampak ada permuafakatan. Matlamat kita adalah agar suasana kegemerlapan itu tercapai, sekaligus muafakat antara semua lapisan masyarakat menyerlah,” katanya ketika meninjau pesta pelita di Hulu Terengganu malam tadi.

Menurut beliau, pelita yang disusun dengan pelbagai bentuk bagi mempamerkan kreativiti berjaya menarik perhatian pengunjung.

Beliau juga berkata hiasan pelita bertujuan bagi membawa masyarakat mengimbau kembali kepayahan generasi dahulu yang hidup tanpa bekalan elektrik.