Keputusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima kemasukan pelajar lepasan sekolah tahfiz bagi menyambung pengajian di universiti itu dilihat satu perkembangan ke arah melahirkan lebih ramai huffaz (para hafiz) profesional.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) Mohd Zahid Mahmood Al-Hafiz berkata pelajar tahfiz diharap mendapat nilai tambah melalui inisiatif ini di mana mereka bukan sahaja mampu menghafal al-Quran tetapi juga mahir dalam ilmu profesional.

Katanya kemahiran dalam ilmu bidang profesional yang bakal diperoleh boleh membuka peluang pekerjaan yang lebih luas pada huffaz, daripada sekadar bekerja dalam bidang berkaitan agama sahaja.

"Kebiasaannya pelajar tahfiz yang sudah selesai pengajian tahfiz akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya mengisi borang permohonan ke universiti awam, tetapi permohonan agak kompetitif dan sukar.

"Oleh itu kami menyambut baik keputusan ini kerana ia bakal memudahkan laluan pelajar tahfiz untuk meneruskan pembelajaran," katanya di sini, pada Rabu.

Semalam, Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata UiTM akan menerima pelajar lepasan sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara bagi menyambung pengajian di universiti itu.

Hassan berkata laluan kemasukan untuk pelajar lepasan sekolah tahfiz itu akan dilaksanakan melalui beberapa kaedah, iaitu penawaran kepada pelajar tahfiz lepasan SPM yang memperoleh keputusan SPM cemerlang untuk mengikuti program Asasi di UiTM.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor (PITAS) Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata pengumuman oleh UiTM itu merupakan satu pengiktirafan kepada sekolah tahfiz.

"Ia juga boleh menyangkal persepsi pihak tertentu bahawa graduan sekolah tahfiz 'tiada masa hadapan' di samping memperkukuhkan lagi keyakinan masyarakat kepada institusi tahfiz.

"Persepsi ini tidak benar kerana pada hari ini, ramai profesional seperti peguam dan doktor yang menghantar anak mereka ke institusi tahfiz, dan permintaan memasuki institusi tahfiz juga tinggi," katanya.

-- BERNAMA