KEPUTUSAN Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada saat-saat akhir adalah satu keputusan yang amat mengejutkan.

Ini kerana sebelum ini tidak ada tanda-tanda bahawa Tee Keat akan memilih untuk tidak bertanding. Watak Tee Keat yang keras dan tidak mudah menyerah meyakinkan banyak ramai bahawa beliau akan bertanding sebagai calon di Pandan selepas tidak disenaraikan sebagai calon oleh Barisan Nasional (BN).

Namun keputusannya tidak bertanding sebagai calon bebas sebagaimana yang diumumkannya sebelum ini sudah pasti mengecewakan ramai pengikut setianya selama ini. Malah beberapa hari sebelum penamaan calon, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat setempat mengadakan protes bagi membantah tindakan MCA tidak mencalonkan Tee Keat.

Dalam satu pengumuman ringkas sebelum bermulanya penamaan calon hari ini, Ahli Parlimen Pandan dan Ampang Jaya selama lima penggal itu memaklumkan, beliau akan menumpukan sumber terhadnya untuk terus membantu rakyat Pandan menerusi program-program rakyat.


Kejutan

Bagaimanapun, Tee Keat menggesa penyokong-penyokong setianya untuk tidak bersedih kerana pengumuman mengejutkan itu tidak bermakna beliau mengabaikan kumpulan pengundi yang telah menyokongnya.

Keputusan Tee Keat untuk tidak bertanding di Pandan ini bermakna berakhirlah satu era politik di Pandan. Selama lima penggal, nama Ong Tee Keat jadi sebutan ramai kerana khidmatnya yang baik tidak menghampakan penduduk.

Tetapi keputusan MCA untuk tidak mencalonkan Tee Keat sebagai calon di Pandan disifatkan satu penghinaan terakhir buat mantan Presiden MCA itu. Selepas hilang jawatan sebagai Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan dan kini Ahli Parlimen, kerjaya politik Tee Keat sudah sampai ke penghujungnya.

Biarpun dianggap sebagai calon boleh menang dan disenangi oleh rakyat di Pandan, kriteria itu tampaknya tidak dapat meyakinkan Soi Lek dan kepimpinan tertinggi parti untuk menerimanya. Inilah realiti pahit dalam dunia politik.

Namun bagi Tee Keat, keputusan untuk tidak bertanding pada saat-saat akhir mengundang pelbagai persoalan. Pertamanya, adakah beliau benar-benar mahu bersara terus daripada politik? Keduanya, adakah keputusan untuk tidak bertanding bermakna Tee Keat masih berpeluang untuk kembali bersaing untuk jawatan tertinggi pada pilihan raya parti akan datang? Ketiga, mungkinkah juga Tee Keat kini sedang memikirkan terus untuk berhijrah ke Pakatan Rakyat?

Dari segi logiknya, mana-mana pemimpin politik tidak mungkin mahu menamatkan riwayat politik mereka dalam keadaan yang tragis dan Tee Keat juga tidak terkecuali. Jika berlandaskan kepada kenyataan yang diberikan Tee Keat hari ini, nampaknya beliau masih belum berputus asa untuk berkhidmat kepada rakyat Pandan biarpun tidak lagi jadi wakil rakyat.

Keputusan Setiausaha Sulit Tee Keat, Allan Tan Yew Leng untuk bertanding sebagai calon Bebas pula dilihat hanya strategi memecahkan undi di Pandan. Ini kali pertama Allan bertanding dalam pilihan raya. Allan mula berkhidmat dengan Tee Keat sebagai Setiausaha Sulitnya sejak 2001 lagi dan dikenali ramai khasnya di kalangan penduduk Pandan. Keputusan Allan untuk bertanding itu juga dilihat satu percaturan taktikal oleh Tee Keat.



Boleh jadi, Tee Keat menyedari beliau tidak mungkin dapat mempertahankan kerusi Pandan jika berlakunya pertembungan tiga penjuru dan justeru, beliau menggunakan Allan sebagai proksinya.
Dan ini membawa kita kepada persoalan kedua, iaitu apakah Tee Keat masih bercita-cita untuk kembali menerajui MCA? Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat memberi ingatan kepada semua ahli komponen BN yang mahu bertanding atas tiket Bebas bahawa mereka akan dipecat secara automatik ataupun digugurkan keahlian parti sepanjang hayat.

Tetapi dengan memilih untuk tidak bertanding bermakna Tee Keat tidak boleh dipecat sebagai ahli parti MCA. Tee Keat juga masih berpeluang untuk kembali bergiat aktif dalam politik kepartian, lebih-lebih lagi pemilihan parti akan diadakan pada tahun ini.

MCA sudah begitu sebati dalam jiwa Tee Keat. Mula menyertai parti itu pada 1981, beliau keberatan untuk meninggalkan parti berkenaan dan ini terserlah dalam satu temuramah dengan media sebelum ini. Biarpun Tee Keat sudah kehilangan segala-galanya, cabaran yang beliau berikan pada pemilihan parti tidak boleh diketepikan begitu sahaja.


Bimbang

Maka kerana itu, kita dapat lihat pucuk kepimpinan parti MCA dan Soi Lek beria-ia untuk menentang pencalonan beliau di Pandan. Ketegasan itu dilihat membayangkan kebimbangan mereka.
Keputusan sebulat suara oleh Jawatankuasa Pusat MCA untuk menolak pencalonan Tee Keat merupakan satu bukti jelas bahawa mereka bertekad mematikan terus langkah mantan Presiden MCA.
Langkah itu dilihat satu tindakan pre-emptive untuk menghalang Tee Keat daripada meneruskan agenda untuk kembali menerajui MCA.

Seandainya Tee Keat berjaya mengorak langkah kembali ke MCA seperti yang disebutkan, beliau bakal berhadapan dengan saingan pemimpin-pemimpin tertinggi MCA lain yang sedang menunggu peluang dan ketika untuk menaiki tampuk kekuasaan.

Nama-nama seperti Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Datuk Seri Ong Ka Chuan turut mengintai jawatan tertinggi parti itu. Malah ketika ini juga, Soi Lek dikatakan telah membuat percaturan untuk mengukuhkan pengaruhnya di dalam parti, lebih-lebih lagi menjelang pemilihan parti akan diadakan selepas PRU 13 nanti.

Justeru, peluang untuk Tee Keat kembali ke MCA penuh dengan ranjau dan liku berduri. Untuk Tee Keat kembali berkuasa, mantan Presiden MCA itu harus melalui terlebih dahulu proksi Soi Lek. Tambah menyukarkan, Tee Keat perlu meyakinkan lebih 2,400 perwakilan bahawa satu perubahan total perlu di dalam MCA jika MCA mahu terus kekal relevan dalam politik semasa negara.


Hijrah

Persoalan ketiga, apakah Tee Keat akan berhijrah ke Pakatan Rakyat tidak berbangkit. Malah dalam satu pertemuan dengan Tee Keat baru-baru ini, pemimpin berkenaan memaklumkan beliau sangsi dengan politik di dalam Pakatan Rakyat. Baginya, penghijrahan ke Pakatan Rakyat tidak akan menyelesaikan masalah malah mungkin dianggap oleh sesetengah pihak sebagai cubaan untuk mengelak masalah.

Pastinya, keputusan untuk tidak bertanding merupakan satu keputusan yang sudah difikir semasak-masaknya. Ia juga satu pengalaman baharu buat Tee Keat sepanjang kerjaya politiknya yang mencecah 3 dekad.

Buat pertama kali dalam kerjaya politiknya, beliau tidak perlu bersusah-payah untuk berkempen. Beliau juga tidak perlu menjelajah dari satu lokasi ke lokasi untuk meraih sokongan. Lebih signifikan, beliau kini boleh menjadi pemerhati politik dari luar.

Percaturan untuk tidak bertanding sebagai calon di Pandan ini menutup kerjaya politik Tee Keat selama lebih tiga dekad. Kini, pengundi-pengundi di Pandan perlu membuat keputusan sama ada mahu memberikan sokongan kepada Allan berlandaskan rekodnya sebagai Setiausaha Sulit Tee Keat yang taat atau menginginkan angin perubahan dengan menyokong Rafizi Ramli daripada PKR ataupun memilih calon BN, Gary Lim.

Pilihan itu terletak di tangan pengundi di Pandan.

__________________________________________________

Markus Lim pernah bertugas di INSAP dan juga sebagai pegawai media kepada Ong Tee Keat.