Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Pahang, Perak dan Johor menurun setakat 5 petang ini manakala di Kelantan kekal seperti yang direkodkan tengah hari tadi.

Keadaan itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di kesemua pusat pemindahan di ketiga-tiga negeri itu dan Kelantan menurun kepada 15,078 orang berbanding 16,173 orang tengah hari tadi.

Di PAHANG, jumlah mangsa menurun kepada 9,845 orang berbanding 10,837 orang tengah hari tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, 43 pusat pemindahan masih dibuka dengan Pekan menempatkan mangsa paling ramai iaitu sebanyak 6,064 orang diikuti Maran (1,912 orang), Kuantan (1,005 orang), Rompin (434 orang), Temerloh (383 orang) dan Bera (47 orang).

Di PERAK, jumlah mangsa juga menurun sedikit kepada 2,798 orang berbanding 2,812 orang tengah hari tadi.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak sehingga kini, 15 pusat pemindahan masih dibuka di Perak Tengah dengan 2,035 orang, Hulu Perak (121 orang), Manjung (155 orang) dan Hilir Perak (487 orang).

Di JOHOR pula, jumlah mangsa berkurangan kepada 63 orang berbanding 152 orang yang direkodkan tengah hari tadi.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, sebanyak 89 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah pusat pemindahan di Balairaya Segamat Kecil ditutup.

Berikutan itu, empat pusat pemindahan masih dibuka sehingga kini iaitu di Balairaya Kampung Batu Badak menempatkan 39 orang, Kompleks Penghulu Pagoh (17), Balairaya Kampung Spang Loi (lima), dan Balairaya Kampung Mensudut Lama (dua).

Sementara itu jumlah mangsa banjir di KELANTAN kekal seperti yang direkodkan tengah hari tadi iaitu sebanyak 2,372 orang.