Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini membentangkan Laporan Tahunan 2015, dan berikut merupakan tiga intipati daripada pembentangan tersebut:

Kadar Pulangan

KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.40 peratus tahun lepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, ini merupakan antara pencapaian terbaik KWSP pada 2015.

Katanya, ini kerana kadar ini dapat dicapai di samping keadaan pasaran meruap dan amat mencabar

Sumbangan Dan Aset Diuruskan

KWSP mencatatkan kenaikan 7.54 peratus jumlah aset pelaburan kepada RM684.53 bilion.

Ini berbanding RM636.53 bilion yang dicatatkan pada 2014.

Ia melaporkan pendapatan pelaburan kasar berjumlah RM44.23 bilion dengan pulangan pelaburan sebanyak 7.48 peratus.

Ini merupakan peningkatan 23 mata asas berbanding 7.25 peratus yang dicatatkan 2014.

Jangkaan 2016

KWSP optimis ia akan terus menjana sasaran pulangan 2 peratus di atas kadar inflasi.

Menurut Shahril, ini meskipun dengan cabaran dalam ekonomi global.

Katanya KWSP melepasi sasaran utama tersebut sejak 5 hingga 6 tahun lalu.

"Kami akan sentiasa kekalkan sasaran utama, iaitu mencapai kadar pulangan sebenar dua peratus di atas paras inflasi negara - Datuk Shahril.

"KWSP merupakan skim caruman tetap. Ini bermaksud kami akan sentiasa kekalkan sasaran utama, iaitu mencapai kadar pulangan sebenar dua peratus di atas paras inflasi negara.

"Sejak 5 hingga 6 tahun lalu, kami telah melepasi sasaran utama tersebut dan mendapat kadar pulangan sebenar hampir kadar inflasi + 4%," kata Shahril.

Tambahnya pada suku pertama tahun ini, prestasi pasaran ekuiti tidak memberangsangkan bukan sahaja bagi KWSP tetapi bagi semua pengurus dana pelaburan di seluruh dunia.

Bank Negara Malaysia menjangka kadar inflasi akan tumbuh antara 2.5 peratus dan 3.5 peratus tahun ini.