SEBUAH acara khas Apple yang dijadualkan berlangsung di Cupertino, California hari ini (jam 1 pagi, 16 September waktu Malaysia), merupakan acara pertama dianjurkan syarikat itu bagi tahun 2020.

Menurut beberapa laporan media, seperti Bloomberg dan juga Reuters, iPhone 12 mungkin tidak akan diumumkan bagi acara kali ini. Sebaliknya, Apple mungkin mengadakan sebuah lagi pengumuman acara khas untuk peranti iPhone ini pada bulan Oktober 2020 nanti.

iPhone 12 juga dikhabarkan akan didatangkan dalam versi 5G dan juga versi bukan 5G.

Namun, bagi acara pada pagi ini, beberapa peranti baharu dijangka diumumkan, dan berikut adalah antara intipatinya:


Apple Watch Series 6

Menurut wartawan Bloomberg Mark Gurman, Apple dijangka mengumumkan jam pintar milik syarikat itu, dan ia mungkin akan diberi nama 'Series 6'.

Antara ciri-ciri yang mungkin ada pada peranti ini adalah prosesor cip lebih laju. Ini akan memanjangkan tempoh hayat bateri jam pintar itu jika dibandingkan dengan model-model sebelum ini.

Selain itu, beberapa penganalisis juga percaya Series 6 mungkin akan didatangkan dengan kebolehan untuk mengenal pasti perubahan dalam oksigen darah, iaitu suatu ciri pengesanan kesihatan yang mirip fungsi elektrokardiogram seperti dalam jam Series 4.

Dari aspek saiz pula, Series 6 dijangka kekal seperti saiz-saiz model terdahulu, iaitu dalam saiz 40mm dan 44mm.

Penganalisis jam pintar pasaran juga ada menyatakan Apple mungkin akan melancarkan beberapa model yang murah, untuk memberi saingan pasaran kepada FitBit dan jenama seumpamanya.


iPad Air baharu

Selain jam pintar, Apple dijangka mengumumkan model terbaharu iPad Air, dan ini merupakan kemas kini bagi peranti ini sejak bulan Mac 2019.

Bloomberg melaporkan bahawa model terbaharu iPad Air ini akan mempunyai rupa bentuk mirip dengan iPad Pro sedia ada, dan akan menggantikan 'home button' dengan skrin penuh.

Ia juga dilaporkan memiliki cip yang lebih perlahan dengan model iPad Pro sedia ada.

Kesemua produk yang dinyatakan akan dilancarkan bersama perisian terkini syarikat itu, iaitu iOS 14, iPadOS 14 dan watchOS 7 yang telahpun diumumkan oleh Apple sebelum ini.