KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan positif dadah yang dipercayai membawa tiga lelaki warga Bangladesh tinggal melebihi tempoh pas lawatan dari Terengganu menuju ke Perak di Batu Melintang, Jeli pada 11.30 malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jeli DSP Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata suspek berusia 40-an itu ditahan ketika memandu lori Fuso berwarna hijau semasa pemeriksaan Snap Check di Sekatan Jalan Raya Batu 6, Batu Melintang.
“Polis turut merampas sebotol cecair disyaki air ketum yang ditemukan di dalam lori berkenaan. Ketiga-tiga warga Bangladesh itu mengakui telah tinggal di Malaysia melebihi tiga tahun dan bekerja dalam pelbagai sektor buruh.
“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan lanjut manakala permohonan reman terhadap pemandu akan dibuat di Mahkamah Majistret Jeli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shamsuri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Beliau berkata polis memandang serius kegiatan melindungi atau menyalahgunakan kenderaan bagi membawa dan memindahkan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.
Menurut Mohd Shamsuri, tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan berkenaan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Jeli sentiasa terpelihara.
-- BERNAMA