Skip to main content

Dunia

Jerman tegaskan "tidak dapat bersetuju" dengan draf semasa COP31

Rasa kecewa semakin memuncak dalam kalangan aktivis serta negara yang mengambil bahagian pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini. - Reuters
Rasa kecewa semakin memuncak dalam kalangan aktivis serta negara yang mengambil bahagian pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini. - Reuters
Advertisement

ANTALYA: Jerman "tidak akan dapat bersetuju" dengan draf semasa deklarasi akhir pada sidang kemuncak iklim COP31 di Turkiye, kata Menteri Alam Sekitarnya Carsten Schneider pada Ahad ketika rundingan masih berlanjutan melangkaui tempoh ditetapkan susulan pertikaian mengenai teks akhir deklarasi itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Rasa kecewa semakin memuncak dalam kalangan aktivis serta negara yang mengambil bahagian pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini selepas draf terkini yang dikeluarkan oleh presiden sidang kemuncak pada pagi Ahad masih tidak menyertakan rujukan jelas mengenai pelan global untuk menamatkan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat.

Dokumen setebal 10 muka surat itu tidak memberikan "tindak balas yang memadai terhadap ancaman krisis iklim; malah, ia merupakan satu langkah ke belakang," kata Schneider di Antalya.

Advertisement

"Satu langkah ke belakang daripada keputusan terdahulu mengenai tindakan iklim adalah perkara terakhir yang boleh diterima oleh Jerman; sebaliknya, kami mahu menerajui usaha ini bersama-sama negara lain di dunia."

Menteri Jerman itu berkata beliau "sangsi berdasarkan perkembangan beberapa jam kebelakangan ini" bahawa kata sepakat akhir dapat dicapai pada persidangan berkenaan - "terutamanya memandangkan ramai rakan sejawat kami kini telah berangkat pulang, berikutan persidangan COP ini sepatutnya berakhir dua hari lepas."

Advertisement

Sesi pleno akhir yang dijadualkan berlangsung lebih 40 jam selepas waktu penutupan asal sidang kemuncak pada petang Jumaat masih belum dimulakan.

Schneider mendakwa negara-negara pengeluar minyak menghalang kemajuan rundingan, sambil menegaskan bahawa sebahagian besar negara lain komited terhadap tindakan iklim.

"Namun, sesetengah pihak masih mengaut keuntungan besar daripada minyak dan gas serta tidak bersedia untuk mengurangkan pengeluaran mereka sewajarnya atau menggerakkan pelan hala tuju yang jelas bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, khususnya dalam sektor ini," katanya.

--BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement