KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak terperdaya dengan akaun media sosial palsu yang menggunakan nama serta gambar Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi dua hantaran di Facebook hari ini memaklumkan akaun berkenaan berpotensi mengelirukan orang ramai termasuk menerusi hantaran dan mesej yang meminta individu menghubungi nombor telefon tertentu bagi tujuan permohonan bantuan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai akaun media sosial yang menggunakan nama atau gambar pemimpin kerajaan tanpa pengesahan," menurut kenyataan itu.
MoF turut meminta orang ramai agar tidak berkongsi maklumat peribadi, butiran perbankan atau nombor kata laluan sekali guna (OTP) dengan pihak yang tidak dikenali dan tidak membuat sebarang pembayaran atau mengikuti arahan mencurigakan yang diterima melalui akaun berkenaan.
Orang ramai disaran mendapatkan maklumat sahih melalui saluran komunikasi rasmi Kementerian Kewangan di www.mof.gov.my.
-- BERNAMA