MOSCOW: Negara asing berkemungkinan cuba menguasai pusat data di Australia secara rahsia bagi mengakses maklumat milik rakyat dan agensi kerajaan, kata Ketua Perisik Australia Mike Burgess kepada akhbar Brisbane Times dan program 60 Minutes, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO) itu menarik perhatian terhadap risiko yang timbul apabila tiada kejelasan mengenai pemilik sebenar sesebuah kemudahan atau sumber pembiayaan pembinaannya.
Sebagai contoh, beliau mengemukakan senario andaian yang menyaksikan negara asing boleh membuat pelaburan secara sulit dalam projek sedemikian bagi menguasai infrastruktur terbabit, sekali gus memberi mereka akses secara fizikal atau jarak jauh terhadap teknologi mahupun maklumat yang disimpan di dalamnya.
Menteri Pertahanan Australia Richard Marles memberitahu saluran televisyen ABC bahawa beliau berkongsi kebimbangan sama dengan ketua perisik itu, sambil menyatakan pembinaan pusat data membuka satu lagi saluran kepada campur tangan asing.
Transparency International Australia sebelum ini melaporkan aktiviti melobi dalam sektor berkenaan, yang mendedahkan eksekutif daripada 10 syarikat utama dalam pasaran pusat data Australia mengadakan 119 pertemuan dalam tempoh tiga tahun bersama pegawai kerajaan di empat negeri serta Wilayah Ibu Negara Australia (ACT). Syarikat-syarikat itu turut menggunakan khidmat sekurang-kurangnya 64 pelobi, termasuk 29 bekas menteri kerajaan.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI