TUMPAT: Empat pantai peranginan di Kelantan, iaitu Pantai Geting, Pantai Cahaya Bulan, Pantai Irama dan Pantai Bisikan Bayu dipasang bendera merah berikutan keadaan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 1.5 meter.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Leftenan Kolonel (PA) Mohd Farid Ishak berkata pemasangan bendera merah sejak 27 Okt lepas bertujuan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti mandi-manda dan berenang di kawasan berkenaan.
Beliau berkata keadaan laut bergelora ketika ini berisiko mengundang kejadian lemas berikutan ombak besar dan arus deras termasuk arus bawah laut yang boleh menarik mangsa ke tengah laut walaupun permukaan air kelihatan tenang.
“Orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihatkan supaya tidak mandi-manda atau berenang di kawasan yang dipasang bendera merah kerana keadaan laut tidak selamat apabila ketinggian ombak melebihi 1.5 meter… pengunjung juga perlu sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Farid berkata situasi itu perlu diberi perhatian serius berikutan negara kini memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.
Beliau berkata Kelantan antara negeri di Pantai Timur yang berisiko mengalami hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora sepanjang musim berkenaan.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, fasa awal MTL dari November hingga Januari 2027 dijangka menyaksikan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan yang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta peningkatan paras air laut di perairan Laut China Selatan.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pantai Geting mendapati pengunjung masih datang untuk melihat ombak bersama dengan keluarga termasuk membawa anak-anak meskipun tidak melakukan aktiviti mandi-manda.
Beberapa anggota APM yang bertugas sebagai penyelamat pantai di menara tinjau turut melakukan pemantauan dan memberikan nasihat kepada pengunjung mengenai tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA