Skip to main content

Malaysia

Bomba waspada risiko banjir susulan air pasang besar malam ini

Pemantauan sekitar 2 petang tadi mendapati tujuh kampung dan beberapa kawasan sekitar Sabak telah dinaiki air susulan keadaan kawasan yang sering mengalami takungan air, selain ketiadaan sistem perparitan yang sempurna. -Gambar hiasan
Pemantauan sekitar 2 petang tadi mendapati tujuh kampung dan beberapa kawasan sekitar Sabak telah dinaiki air susulan keadaan kawasan yang sering mengalami takungan air, selain ketiadaan sistem perparitan yang sempurna. -Gambar hiasan

Ringkasan AI

  • Fenomena air pasang besar dijangka malam ini meningkatkan risiko banjir di sekitar Sabak, Pengkalan Chepa selepas beberapa kawasan dinaiki air sehingga 0.5 meter.
  • Bomba Pengkalan Chepa bersiap siaga dan telah mengenal pasti SK Sabak sebagai pusat pemindahan sementara sekiranya pemindahan mangsa diperlukan.
  • Pemantauan dan nasihat berterusan diberikan kepada orang ramai agar berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah.
Advertisement

KOTA BHARU: Fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku malam ini meningkatkan risiko banjir di sekitar Sabak, Pengkalan Chepa selepas beberapa kawasan dinaiki air sehingga 0.5 meter petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Faizol Hisham Abdullah berkata pihaknya kini dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan peningkatan paras air, terutama sekiranya fenomena air pasang besar berlaku seperti yang dijangkakan.

Beliau berkata pemantauan sekitar 2 petang tadi mendapati tujuh kampung dan beberapa kawasan sekitar Sabak telah dinaiki air susulan keadaan kawasan yang sering mengalami takungan air, selain ketiadaan sistem perparitan yang sempurna.

Advertisement

Kawasan terlibat ialah Kampung Pantai Sabak, Kampung Tebing Tinggi, Kampung Pulau Gajah, Kampung Kemumin, kawasan sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Sabak, Masjid Lama Kampung Sabak serta Pantai Nusuk, Kampung Sering, Kampung Gajah Mati dan Kampung Pulau Belanga.

“Paras air di beberapa lokasi mencecah kira-kira 0.5 meter. Pasukan bomba sudah bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan peningkatan paras air, terutama sekiranya berlaku fenomena air pasang besar malam ini.

Advertisement

“Pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Sabak juga telah dikenal pasti sebagai lokasi penempatan mangsa sekiranya keadaan memerlukan pemindahan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata tinjauan turut dilakukan di Taman Bendahara yang menempatkan kediaman pelajar Universiti Malaysia Kelantan tetapi mendapati keadaan di kawasan itu masih terkawal.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan terus memantau kawasan berisiko bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku peningkatan paras air.

Sehubungan dengan itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, peka terhadap keadaan sekeliling serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement