KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara S. Sivasangari muncul juara acara perseorangan wanita pada Terbuka China 2026 selepas pemain Jepun Satomi Watanabe menarik diri daripada perlawanan akhir akibat masalah kesihatan malam ini.
Penarikan diri itu menyaksikan pemain pilihan utama Sivasangari mengesahkan kejuaraan tanpa perlu turun ke gelanggang.
Watanabe, yang juga pemain pilihan kedua dijadualkan menentang Sivasangari pada perlawanan akhir yang berlangsung pada 7 malam.
Persatuan Skuasy Profesional (PSA) menerusi Jelajah Skuasy PSA dan pihak penganjur Terbuka China mengesahkan penarikan diri pemain Jepun itu serta mendoakan agar beliau segera pulih.
Sivasangari mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menewaskan pemain Hong Kong Sin Yuk Chan pada aksi separuh akhir semalam.
Beliau hanya memerlukan tiga permainan untuk menundukkan Yuk Chan 11-3, 11-5, 11-8, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kejohanan berkenaan.
Sementara itu, Watanabe mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menewaskan pemain pilihan kelima dari Itali Marta Stefanoni, 11-8, 11-6, 11-8 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
-- BERNAMA