Projek Agropreneur yang melibatkan golongan muda supaya turut serta dalam bidang keusahawanan bagi memajukan lagi taraf ekonomi akan dilancarkan dalam masa yang terdekat.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, tujuan projek ini dilaksanakan adalah untuk menggalakkan generasi muda supaya tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam bidang keusahawan.

Jelas beliau, projek ini telah dicadangkan oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri, dan projek ini bagi membantu generasi muda yang berkelayakkan dan berpengetahuan supaya dapat melihat bahawa keusahawan juga adalah bidang yang boleh menjamin ekonomi.

“Jadi ini sebenarnya rebranding kepada pertanian itu satu perniagaan,dulu kita guna pakai menyeru kepada rakyat supaya sedarlah,insaflah,marilah kita terlibat dengan pertanian kerana pertanian itu satu perniagaan.

“Kita 'rebranding rejuvenation' maknanya kita hidupkan semula program itu dengan satu jenama yang baru yang memberi fokus kepada generasi muda,” kata Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Menurut Datuk Tajuddin, semua agensi di bawah kementerian juga akan turut menyalurkan pelbagai bantuan kepada usahawan generasi muda ini dari segi khidmat nasihat, khidmat sokongan sehingga ke khidmat pengeluaran produk dan pemasaran hasil asas tani.

Dengan bantuan daripada agensi-agensi kerajaan ini, usahawan generasi muda akan dapat mempelajari secara lebih terperinci tentang bidang keusahawanan ini.

Tambah beliau,Projek Agropreneur tersebut bakal dilancarkan dalam masa yang terdekat oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan dan Keusahawanan Kawasan Parlimen Pasir Salak, di Pasir Salak,Perak semalam.