BISNES
Arab Saudi rancang tutup loji jana kuasa berasaskan minyak berskala besar - ACWA Power

Abunayyan berkata Arab Saudi punyai strategi jelas untuk memastikan 50 peratus daripada sumber tenaganya datang daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030, manakala bakinya akan dijana daripada gas. - Foto ACWA Power
MOSCOW: Arab Saudi merancang untuk menamatkan operasi loji janakuasa berasaskan minyak berskala besar yang berkapasiti melebihi 30 gigawatt, kata Pengasas merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah ACWA Power, Mohammad Abunayyan pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Kami juga sedang menamatkan operasi loji janakuasa berasaskan minyak yang besar dengan kapasiti melebihi 30 gigawatt.
"Anda boleh bayangkan kesan ekonomi daripada penjimatan minyak yang bertong-tong ini. Ia memberikan manfaat kepada alam sekitar dan ekonomi. Semuanya masuk akal," kata Abunayyan semasa Seminar Antarabangsa Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) ke-9.
Beliau berkata China berperanan penting dalam mempromosikan tenaga boleh diperbaharui, menjadikan "tenaga hijau satu realiti."Arab Saudi mempunyai strategi yang jelas untuk memastikan 50 peratus daripada sumber tenaganya datang daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030, manakala baki 50 peratus akan dijana daripada gas, katanya.
ACWA Power yang beribu pejabat di Riyadh adalah syarikat antarabangsa yang mengkhusus dalam penjanaan elektrik dan penyahgaraman air.
Ia dikenali menerusi projek tenaga boleh diperbaharui termasuk tenaga suria, angin dan penghasilan hidrogen hijau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami