BAITULMAQDIS: Israel buat masa ini menangguhkan serangan terhadap Iran, namun memberi amaran tindak balas lebih keras akan dilakukan sekiranya diserang semula.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, situasi di medan konflik kini terkawal selepas Iran menghentikan serangan terhadap Israel susulan tindakan balas ketenteraan sebelum ini.
Menurut beliau, tentera Israel sebelum ini menyasarkan beberapa lokasi strategik di Iran sebagai respons terhadap serangan peluru berpandu yang dilancarkan Tehran.
“Pada ketika ini, serangan di hadapan ini telah dihentikan kerana selepas Iran diserang, mereka berhenti menyerang kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Israel tidak akan berdiam diri jika provokasi berulang.
“Jika Iran melakukan kesilapan dan menyerang kami semula, kami akan bertindak balas dengan kekuatan penuh,” katanya lagi.
Netanyahu pada masa sama menegaskan, konflik dengan Iran dan sekutunya, Hezbollah, masih belum berakhir walaupun ketegangan dilihat mereda buat sementara waktu.
Perkembangan itu menyusul selepas kedua-dua negara saling melancarkan serangan buat pertama kali sejak gencatan senjata pada April lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik lebih besar di rantau Asia Barat. - Agensi