BISNES
ATLAS Vending diiktiraf Guinness World Records bagi mesin kitar semula berbalik paling nipis
KUALA LUMPUR: ATLAS Vending, penyedia mesin layan diri terkemuka negara, melakar sejarah apabila meraih pengiktirafan Guinness World Records bagi “Mesin Kitar Semula Berbalik Paling Nipis dengan Sistem Pemampatan” menerusi pelancaran mesin ECOPOD.
Majlis penyampaian anugerah berprestij itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di kementeriannya di Putrajaya.
Kejayaan itu disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Etika, Santharuban Thurai Sundaram dan Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan.
ATLAS ECOPOD merupakan mesin kitar semula berbalik yang direka untuk mengumpul botol plastik minuman jenis PET dan tin aluminium.Dengan ukuran hanya 35 sentimeter, mesin ini menjadi yang paling nipis dalam kategorinya dan sesuai untuk ditempatkan di kawasan bandar serta lokasi tumpuan ramai.
Dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem internet kebendaan (IoT), ECOPOD mampu mengimbas, mengasingkan dan memberi ganjaran secara automatik kepada pengguna dalam bentuk mata ganjaran yang boleh ditebus di mesin layan diri ATLAS seluruh negara.
Santharuban berkata, pencapaian ini adalah bukti usaha berterusan pihaknya dalam memperkenalkan inovasi mampan yang mampu mengubah pengalaman kitar semula menjadi lebih menarik dan berkesan.
“Rekod dunia ini bukan sahaja meletakkan ATLAS di pentas global, malah memperkukuh komitmen kami dalam menjayakan agenda kelestarian alam sekitar yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi dalam ucapannya memuji inisiatif ATLAS Vending yang disifatkan selari dengan dasar kerajaan untuk mencapai ekonomi hijau.
“Ini termasuk dalam dasar Malaysia Madani, Peta Panduan Peralihan Tenaga Negara (NETR), Dasar Ekonomi Kitar Semula Negara serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Dalam fasa pertama pelancaran ECOPOD, sebanyak 100 unit mesin akan ditempatkan di seluruh negara, dengan ganjaran bonus mata ditawarkan kepada pengguna yang mengitar semula produk minuman keluaran Etika.
ATLAS Vending menyeru rakan korporat, pemilik bangunan, pemaju dan institusi awam untuk menyertai inisiatif ini sebagai langkah ke arah kitar semula yang lebih inklusif dan cekap, sejajar dengan aspirasi negara menuju masa depan lebih lestari.
Inisiatif ini turut menyokong Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021–2030 dan membuktikan teknologi serta tanggungjawab alam sekitar boleh digabungkan dalam satu penyelesaian inovatif.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami