KUALA LUMPUR: Kerajaan khususnya pihak berkuasa perlu lebih tegas terhadap mana-mana pemimpin politik terutamanya pemimpin DAP yang secara terbuka memperlekeh, mencerca dan mempersoalkan kedudukan institusi istana termasuk bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, mutakhir ini beliau melihat pemimpin DAP terutamanya bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang dikatakan secara terbuka memperkecilkan peranan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu.
"Tindakan Tony Pua berkongsi petikan yang didakwa sebagai minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan baru-baru ini yang membabitkan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai tidak menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
"Malah sebelum ini bekas pemimpin kanan DAP itu juga dilaporkan mempertikaikan ketegasan Sultan Selangor bersabit isu ternakan babi di negeri berkenaan. Tindak-tanduk pemimpin DAP itu sudah jelas melanggar garis sempadan berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
"Dalam hubungan ini, kita tidak mahu ada dakwaan kononnya rakyat biasa yang melanggar 3R terutama menerusi platform media sosial akan terus 'dicekup' pihak berkuasa sedangkan pemimpin politik seperti DAP masih menunjukkan sikap tidak menghormati kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebook.
Tegas Syed Ali, pemimpin DAP diingatkan jangan cuba 'mencurah minyak ke dalam api' semata-mata mahu melihat berlaku pergeseran antara kaum di negara ini demi kepentingan agenda politik mereka.
"Sebagai parti politik yang cukup matang, DAP tidak sepatutnya masih berterusan bermain dengan isu, sentimen perkauman dan Raja-Raja Melayu hanya untuk dilihat popular dan menjuarai kepentingan kaum tertentu.
"Pemimpin DAP juga harus menerima realiti bahawa negara ini 'masih bertuan' dan dipayungi oleh Sultan dan Raja-Raja Melayu sepertimana sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Jangan dibiarkan sikap kurang ajar dan kebiadapan pemimpin DAP itu tanpa sebarang tindakan tegas kerana dikhuatiri akan mencemarkan nilai moral dan adab pemimpin politik untuk masa depan negara ini, ' katanya.