KUALA LUMPUR: Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) mengumumkan pelantikan Azman Haji Tambi Chik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu biro negara, berkuat kuasa 20 November 2023.

MyCEB dalam satu kenyataan memaklumkan Azman yang memiliki pengalaman dan pengetahuan luas dalam aspek pengurusan korporat dari pelbagai industri termasuk pelancongan dan hospitaliti, dan teknologi bakal menjadi tambahan berharga dalam pasukan kepimpinan.

Dalam pada itu, Azman memaklumkan beliau berminat menerapkan budaya pemerkasaan dan kepelbagaian dalam organisasi dan industri, memastikan semua peserta acara perniagaan meninggalkan legasi yang mampan dalam sektor yang dinamik.

“Saya gembira diberi peluang mewakili industri yang besar dan penting seperti Acara Perniagaan. Saya akan bekerjasama rapat dengan ahli dan pihak berkepentingan dalam penyelidikan, dasar, kemahiran, latihan, acara dan advokasi dengan Kerajaan dalam menyediakan sokongan dan perkhidmatan yang memberi impak,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi, beliau turut menyatakan rancangannya untuk memimpin industri acara perniagaan memasuki era baharu.

“Kita berada dalam kedudukan memacu industri acara perniagaan dengan kemajuan industri yang tersedia. Terdapat banyak peluang di luar sana untuk dimanfaatkan kerana Malaysia memegang kedudukan penting dalam mengemudi industri  acara perniagaan untuk rantau ini.

"Dengan sumber destinasi dan kepakaran yang disokong oleh pendigitalan dan kemajuan teknologi, kami bersedia melabur dalam menarik acara dan delegasi antarabangsa yang berkualiti," katanya.

Dengan pengalaman kerjaya mencecah lebih 30 tahun, Azman telah berkhidmat dengan organisasi ternama seperti Damansara Holdings Berhad (DBhd), sebuah syarikat berstatus Bumiptera yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia.

Beliau juga telah memimpin dan mengukuhkan Kumpulan Komunikasi Korporat di Johor Corporation (JCorp). Turut memainkan peranan penting dalam menguruskan Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM), di mana beliau berjaya memperkenalkan penunjuk kepuasan tetamu dalam meningkatkan keuntungan syarikat.

Dalam masa sama, beliau telah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan dan telah menyumbang dengan ketara dalam memudahkan teknologi baharu untuk pelbagai syarikat permulaan di Malaysia.