Ringkasan AI
- KPWKM melalui LPPKN akan melaksanakan Kajian Lelaki Budiman Negara (KLBN) bermula Jumaat hingga 31 Disember bagi meneliti isu lelaki di Malaysia.
- Kajian ini menyasarkan 8,236 responden lelaki berumur 13 tahun ke atas dari seluruh negara, dengan kerjasama UiTM Technoventure.
- Dapatan kajian akan digunakan untuk membangunkan instrumen pengukuran peranan lelaki, asas kepada dasar dan program pembangunan sosial kerajaan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan melaksanakan Kajian Lelaki Budiman Negara (KLBN) bermula Jumaat hingga 31 Dis ini bagi meneliti isu, keperluan serta cabaran yang dihadapi golongan itu di Malaysia.
KPWKM menerusi kenyataan memaklumkan kajian dengan kerjasama UiTM Technoventure itu dilaksanakan sempena sambutan Hari Lelaki Sedunia dan menyasarkan 8,236 responden lelaki berumur 13 tahun ke atas dari 13 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan.
“Dapatan daripada kajian ini bakal digunakan untuk membangunkan satu instrumen khusus bagi mengukur ciri, nilai, kesejahteraan serta peranan lelaki dalam masyarakat... instrumen ini kemudian akan menjadi asas utama kepada kerajaan dalam merancang dasar, program dan intervensi pembangunan sosial yang bersesuaian.
“Pengumpulan data akan dijalankan secara bersemuka oleh Penyelidik Bersekutu bertauliah menggunakan kaedah Computer Assisted Personal Interviewing (CAPI) dan Computer Assisted Self-Interviewing (CASI) menerusi aplikasi KoboToolBox,” menurut kenyataan itu.
KPWKM memaklumkan semua penyelidik bersekutu yang dilantik akan dilengkapi uniform rasmi kajian, surat pengesahan LPPKN serta kad lanyard rasmi bagi memastikan keselamatan dan kesahihan proses pengumpulan data.
“Pengukuran kajian merangkumi lapan domain utama iaitu Fizikal, Psikologi, Sosial, Spiritual, Kemahiran Pengurusan Kehidupan, Budaya Digital, Kesetaraan Gender serta Transisi dan Kelangsungan Generasi,” katanya.
Kementerian itu memberi jaminan bahawa semua maklumat yang dikumpul adalah sulit, penyertaan dibuat secara sukarela dan data dilindungi mengikut etika kerahsiaan kajian.
Sehubungan dengan itu, KPWKM menyeru lelaki Malaysia yang terpilih sebagai responden supaya memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan kajian berkenaan demi memperkukuh institusi keluarga dan memupuk masyarakat harmoni.
Maklumat lanjut mengenai kajian itu boleh diperoleh menerusi portal rasmi KLBN di https://lelakibudimannegara.my.
-- BERNAMA