Bank Negara Malaysia (BNM) melantik Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 16 Julai 2016.

Dalam satu kenyataan, bank pusat berkata sebagai Timbalan Gabenor, Abdul Rasheed bertanggungjawab bagi pengawalseliaan dan pembangunan sektor kewangan.

Ia termasuk sistem pembayaran di samping pengurusan rizab antarabangsa dan operasi pasaran wang serta pentadbiran pertukaran asing.

Abdul Rasheed kini merupakan Penolong Gabenor yang bertanggungjawab bagi sektor dasar monetari dan ekonomi yang terdiri daripada Jabatan Dasar Monetari, Jabatan Ekonomi, Jabatan Antarabangsa dan Jabatan Perkhidmatan statistik di BNM.

Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa pengurusan bank dan ahli jawatankuasa bagi beberapa jawatankuasa dasar iaitu Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Pengurusan Rizab dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.

Abdul Rasheed telah berkhidmat di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Washington D.C. sebagai pengarah eksekutif silih ganti di pejabat kumpulan Asia Tenggara dalam Lembaga Eksekutif IMF.

Beliau memainkan peranan utama dalam pembangunan dan kejayaan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2001-2010) dan Perumusan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020).

Beliau juga terlibat dalam inisiatif kerjasama serantau semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN termasuk persetujuan ringkasan Pencapaian Integrasi Kewangan ASEAN dan Pembangunan Pelan Pasca-2015 Integrasi Kewangan ASEAN.

Abdul Rasheed memulakan kerjaya di Bank Negara pada tahun 1988 dan beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.

Dengan pelantikan beliau, BNM kini mempunyai tiga Timbalan Gabenor, seperti yang diperuntukkan oleh Akta Bank Negara Malaysia 2009.