CHUKAI: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap kerajaan mengekalkan subsidi dan insentif kepada nelayan khususnya subsidi minyak dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan sektor perikanan terus berkembang.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata walaupun berdepan kekangan kewangan susulan krisis tenaga global, pihaknya yakin kerajaan berkemampuan untuk mengekalkan subsidi minyak bagi nelayan serta bantuan berkaitan sara hidup golongan itu.
Beliau berkata LKIM turut berharap peruntukan lebih besar disediakan bagi pembangunan dan menaik taraf infrastruktur perikanan, terutama jeti uzur serta kompleks pendaratan ikan yang memerlukan pembaikan.
"Keperluan nelayan di beberapa pangkalan adalah kepada jeti yang lebih baik dari sudut pembinaannya. Jadi kita minta peruntukan lebih berkaitan dengan pembinaan jeti," katanya selepas Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Kuala Kemaman dan Penyerahan Bina Baru Rumah Nelayan di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Kemaman di sini hari ini.
Muhammad Faiz berkata tumpuan turut perlu diberikan kepada pembangunan sektor akuakultur bagi membantu nelayan dan persatuan nelayan meningkatkan sumber pendapatan.
"Saya mengharapkan peruntukan yang lebih pada bidang akuakultur supaya dapat kita bangunkan bidang akuakultur ini dalam kalangan nelayan dan persatuan nelayan. Itu antara fokus kita tahun depan," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata LKIM turut memohon peruntukan tambahan bagi pembinaan lebih banyak unjam dan tukun sebagai kawasan pembiakan dan perlindungan ikan.
"Kita perlukan juga lebih banyak unjam ataupun tukun dan saya minta peruntukan yang lebih daripada kerajaan supaya kita dapat bina rumah-rumah sumber ikan ini untuk pembiakan ikan dan memudahkan nelayan meningkatkan tangkapan," katanya.
Beliau berkata pada masa ini kira-kira 80,000 nelayan yang aktif turun ke laut membabitkan Zon A, B, C dan C2 di seluruh negara.
Sementara itu, beliau berkata LKIM menyalurkan bantuan berjumlah RM214,000 bagi memperkasakan sosioekonomi serta kemudahan infrastruktur komuniti nelayan di Kemaman.
Katanya, peruntukan berkenaan meliputi RM124,000 bagi bantuan rumah nelayan B40, RM50,000 untuk kerja baik pulih dan naik taraf bangunan Kumpulan Wanita Nelayan (KUNITA) serta RM40,000 bagi pembinaan tangga di Jeti Jualan Minyak Kompleks LKIM Kemaman.
Selain itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM10 juta pada tahun ini bagi melaksanakan Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) pembinaan 36 rumah baharu dan kerja baik pulih 344 rumah nelayan di seluruh negara.
"Konsep baik pulih rumah adalah membaiki rumah nelayan hingga maksimum RM20,000 manakala bina baharu RM84,000," katanya.
Muhammad Faiz berkata bantuan itu bertujuan memastikan golongan nelayan dapat menikmati kediaman lebih selesa, selain menjadi galakan untuk mereka terus menjalankan aktiviti menangkap ikan.
-- BERNAMA