Skip to main content

Bisnes

Belanjawan 2027: Penentu harap kerajaan kekal subsidi bahan api

41734066004_botnelayan.jpg
Mat Yassim berkata Penentu juga berharap kerajaan mempertimbang untuk mengekalkan elaun sara hidup RM300 sebulan, bagi membantu meringankan beban nelayan menyara keluarga. - Gambar hiasan
Advertisement

DUNGUN: Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) berharap kerajaan terus mengekalkan subsidi bahan api pada Belanjawan 2027, bagi meringankan beban golongan itu susulan peningkatan kos operasi menangkap hasil laut.

Pengerusi Penentu Mat Yassim Mohamed berkata subsidi minyak menjadi antara bantuan terpenting, kerana kos bahan api menyumbang sebahagian besar kepada perbelanjaan operasi bagi nelayan lesen Kelas A, B dan C.

Beliau berkata pengekalan subsidi petrol dan diesel juga membolehkan nelayan meneruskan aktiviti menangkap hasil laut bagi membekalkan sumber protein kepada masyarakat.

“Subsidi minyak amat penting kepada nelayan, kerana kos bahan api itu menjadi antara komponen utama dalam operasi menangkap ikan,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Kerajaan ketika ini menetapkan kadar subsidi diesel bagi nelayan zon A, B dan C pada RM1.65 seliter.

Pada masa sama, Mat Yassim berkata Penentu juga berharap kerajaan mempertimbang untuk mengekalkan elaun sara hidup RM300 sebulan, bagi membantu meringankan beban nelayan menyara keluarga.

Beliau berkata bantuan berkenaan penting bagi memastikan nelayan mempunyai sumber pendapatan lebih stabil, berikutan hasil tangkapan yang tidak menentu.

“Elaun ini sedikit sebanyak membantu nelayan menampung keperluan harian keluarga, khususnya apabila pendapatan mereka merosot ketika cuaca buruk,” katanya.

Belanjawan 2027 dijadualkan untuk dibentangkan pada 9 Oktober ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement