Skip to main content

Bisnes

Belanjawan 2027: RM2.62 bilion disalur untuk kebajikan pesawah

Anwar berkata, kerajaan juga menyediakan RM20 juta bagi membekalkan baja foliar untuk memulih dan menyuburkan semula lebih 10,000 hektar kawasan sawah padi di seluruh negara. - Gambar fail
Anwar berkata, kerajaan juga menyediakan RM20 juta bagi membekalkan baja foliar untuk memulih dan menyuburkan semula lebih 10,000 hektar kawasan sawah padi di seluruh negara. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kebajikan pesawah terus menjadi tumpuan kerajaan apabila sebanyak RM2.62 bilion diperuntukkan bagi membantu golongan itu menerusi pelbagai bentuk subsidi dan insentif di bawah Belanjawan 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan berkenaan membolehkan pesawah menikmati sokongan sekitar RM4,300 bagi setiap hektar sawah meliputi subsidi benih, baja, racun, upah membajak serta jaminan harga padi.

"Langkah itu sejajar usaha kerajaan memperkukuh pengeluaran beras negara serta menjaga pendapatan pesawah di tengah cabaran kos pertanian yang semakin meningkat.

"Sebagai tambahan, kerajaan turut bersetuju meningkatkan kadar Insentif Penuaian Padi daripada RM50 kepada RM100 sehektar bagi setiap musim," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2027 hari ini. 

Dalam masa sama, kadar Insentif Pembajakan sebanyak RM300 sehektar yang diperkenalkan sebelum ini akan dikekalkan serta diperluaskan kepada pesawah di Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata, kerajaan juga menyediakan RM20 juta bagi membekalkan baja foliar untuk memulih dan menyuburkan semula lebih 10,000 hektar kawasan sawah padi di seluruh negara.

Menurut beliau, bantuan kepada pesawah itu berjalan seiring dengan pelaksanaan Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun yang amat penting bagi menjamin kelangsungan bekalan beras negara.

"Ketika ini, kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan di 15 blok sawah sedang dilaksanakan mengikut jadual, manakala Projek Pemulihan Empangan Pedu dijangka siap pada penghujung tahun 2027.

"Kerajaan turut memperuntukkan RM300 juta bagi memperhebat kerjasama projek agromakanan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi meningkatkan hasil serta pendapatan komuniti luar bandar.

"Langkah berkenaan dilihat sebagai antara usaha terbesar kerajaan dalam memperkukuh sektor padi dan beras negara sambil memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara demi menjamin keselamatan makanan negara," ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement