Ringkasan AI
- Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberi perhatian sama rata kepada semua kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13, termasuk kawasan kubu kuat.
- Ketua Penerangan GPS menegaskan faktor dalaman parti, pemilihan calon, dan prestasi penyandang boleh mempengaruhi keputusan undi.
- Pada PRN12, GPS menang 76 daripada 82 kerusi, manakala PSB yang kini dibubarkan, menyatakan sokongan kepada GPS.
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan mengambil mudah mana-mana kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, termasuk kawasan yang dianggap sebagai kubu kuat gabungan itu.
Ketua Penerangan GPS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap kerusi akan diberikan perhatian dan penekanan sama kerana kemenangan tidak hanya bergantung kepada kekuatan parti lawan, sebaliknya turut dipengaruhi faktor dalaman serta penerimaan pengundi terhadap calon.
Menurutnya, masalah dalaman parti, pemilihan calon yang kurang sesuai serta prestasi penyandang yang tidak disenangi pengundi boleh menjejaskan jumlah undi yang diperoleh.
“Kita tidak memberi fokus seperti itu kerana tiap-tiap kerusi yang dipertandingkan sama ada kawasan itu, kita tahu bahawa kubu kuat kita ataupun tidak, kita ada akan beri penekanan sama.
“Yang penting kita memenanginya kerana politik ni agak berlainan. Kadang-kadang walaupun tidak ada lawan yang kuat daripada parti-parti politik, internal problem (masalah dalaman), salah calon dan sebagainya.
“Atau (seseorang) wakil rakyat penyandangnya itu adalah seorang yang mungkin tidak pandai senyum dan sebagainya. Perkara-perkara macam itu boleh menyebabkan perasaan kurang senang. Dan yang akan affect (jejas), dia akan melibatkan besar kecilnya jumlah undi,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian kepada Astro AWANI selepas Sidang Media Praacara 4th Borneo Open International Dancesport Championship and Convention (BOIDC), di sini, pada Selasa.
Pada PRN12, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP (dua).
Namun, PSB dibubarkan pada 2024 dan kesemua empat ADUN parti itu bertindak menyatakan sokongan kepada GPS.