BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei sedang membina persekitaran pasaran yang menyokong kehadiran pelabur serantau untuk meneroka perkongsian dan pelaburan dengan syarikat tempatan, lapor Xinhua.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan Darussalam Enterprise (DARe), Daniel Leong dipetik oleh Buletin Borneo pada Ahad sebagai berkata bahawa penambahbaikan terhadap iklim pelaburan tertumpu kepada lima sektor iaitu minyak hiliran dan gas, makanan, teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan dan pelancongan.

Sektor makanan adalah contoh terbaik yang menyaksikan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti akuakultur bernilai tinggi dan pertanian berteknologi tinggi serta aktiviti rantaian bernilai tinggi, kata Leong di Forum B2B Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP- EAGA) yang diadakan di sini baru-baru ini.

Kerajaan Brunei, Syarikat Pelabuhan Muara, sebuah usaha sama antara Brunei dan China, dan pihak berkepentingan terlibat dalam inisiatif untuk meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan pergerakan barangan serta perkhidmatan bagi mewujudkan hab pemindahan BIMP-EAGA, katanya.

-- BERNAMA