KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengalami balikan daripada penurunan baru-baru ini untuk dibuka tinggi pada Isnin, menjejaki kenaikan Wall Street dalam tempoh semalaman susulan peningkatan keyakinan pelabur, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.87 mata kepada 1,459.22 daripada 1,450.35 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks utama itu dibuka 0.72 mata lebih tinggi kepada 1,451.07.

Keseluruhan pasaran adalah positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 241 berbanding 129, manakala 286 kaunter tidak berubah, 1,648 kaunter tidak diniagakan dan 53 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 365.66 juta unit bernilai RM112.85 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih tinggi pada Jumaat lepas apabila indeks perbelanjaan penggunaan peribadi Amerika Syarikat (AS) mencatatkan data seperti yang dijangkakan, menunjukkan inflasi AS semakin reda.

Purata Indeks Dow Jones meningkat 176 mata manakala Nasdaq melonjak 266 mata apabila hasil 10 tahun AS susut di bawah paras empat peratus kepada 3.95 peratus.

Bagi FBM KLCI, beliau berkata indeks itu berada dalam keadaan baik dengan jangkaan pengumpulan berterusan saham mewah.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,445 hingga 1,455 hari ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah lima sen kepada RM9.04; Petronas Chemicals naik tujuh sen kepada RM6.92; manakala IHH Healthcare dan Sime Darby masing-masing menokok enam sen kepada RM5.95 dan RM4.61.

Antara saham aktif, Hong Seng dan Tanco masing-masing tidak berubah pada 7.5 sen dan 56 sen, manakala Sarawak Consolidated, Leform dan Vinvest masing-masing naik setengah sen kepada 44 sen, 22 sen dan 7.56 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 62.43 mata kepada 13,997.76; Indeks FBM Emas menambah 49.47 mata kepada 10,702.40; Indeks FBMT 100 menokok 50.98 mata kepada 10,392.16; Indeks FBM EMas Syariah naik 56.74 mata kepada 10,961.94 manakala Indeks FBM ACE turun 3.76 mata kepada 5,317.57.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 60.68 mata kepada 7,210.79; Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 55.30 mata kepada 16,235.11; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.65 mata kepada 168.16, dan Indeks Tenaga menokok 0.07 mata kepada 832.77.

-- BERNAMA