KUALA LUMPUR: Pembukaan cawangan Co-opbank Pertama (CBP) yang ke-29 di Tawau bakal memenuhi keperluan perbankan masyarakat setempat di lokasi berkenaan.

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi menjelaskan, ia merupakan cawangan CBP yang kedua di Sabah selepas pertama dibuka di Kota Kinabalu.

"Pembukaan cawangan di Tawau ini merupakan salah satu strategi CBP untuk membawa produk dan perbankan terus kepada penduduk di negeri di bawah bayu.

"CBP kini dalam perancangan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 36 buah cawangan di seluruh negara menjelang tahun 2026.

"Pembukaan itu seperti perancangan di dalam Pelan Strategik CBP 2022-2026 yang telah dilancarkan pada 31 Mei lepas," katanya dalam satu kenyataan selepas perasmian cawangan itu pada Rabu.

BACA: Co-opbank beri anggota peluang tambah saham

BACA: 
OPR naik: Tidak beri kesan negatif kepada pelanggan individu, koperasi CBP

Majlis dirasmikan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Zazali Haron.

Turut hadir ke majlis berkenaan, Timbalan Pengerusi CBP, Nor Hidayah Omar serta Anggota Lembaga
CBP; Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, Pengurusan Kanan CBP, wakil-wakil agensi kerajaan dan kakitangan CBP.

Dalam pada itu tambah Baharom, CBP akan terus memperkenalkan beberapa produk dan model
perniagaan baharu bagi memenuhi keperluan anggota serta pelanggannya.

Beliau turut menyeru agar penduduk Tawau terus menyokong CBP dengan melanggan produk dan perkhidmatan perbankan patuh syariah di CBP.

Turut diadakan pada majlis sama, program Kayuhan Merdeka yang dilepaskan Baharom sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Sebelum ini CBP membuka peluang untuk menambah jumlah saham di bank koperasi kepada anggota sedia ada bermula 1 Jun lalu.

Penambahan syer itu dibuka sehingga modal saham anggota CBP mencapai RM1 bilion.