Skip to main content

Bisnes

CEO Invest Selangor kongsi tiga kehendak syarikat sebelum melabur dalam negeri

Investment Insider, Invest Selangor
(Kiri) Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dan (kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), Datuk Hasan Azhari Idris dalam program Investment Insider, bersiaran setiap Isnin, 9 malam di saluran 501 dan semua platfrom Astro AWANI. - foto/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat global terkemuka mahu tiga perkara dijamin sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam negeri.  

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), Datuk Hasan Azhari Idris berkata tiga perkara tersebut ialah infrastruktur lengkap, integrasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan akses kepada bakat mahir.

“Pertama, infrastruktur plug-and-play (siap sedia). ‘Masa ke pasaran’ sangat mustahak bagi mereka. Syarikat mahu premis yang lengkap dengan semua perkhidmatan; air, tenaga, gas, dan gentian optik.  

“Kedua, integrasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kerana mandat iklim global. Syarikat-syarikat ini perlukan persekitaran industri serba hijau. Mereka mahu kesediaan tenaga boleh baharu, loji rawatan air berpusat dan kecekapan eko pintar siap terbina dalam taman perindustrian tersebut,” katanya.

Tambahnya, perkara ketiga dalam senarai semak tersebut ialah akses kepada bakat dan rantaian bekalan.  

Beliau berkata demikian dalam program Investment Insider pada Isnin.

Bagi menyahut keperluan industri berkenaan, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata kerajaan negeri Selangor tidak lagi menggunakan pendekatan menyediakan tapak industri semata-mata untuk meningkatkan pelaburan. Sebaliknya, kerajaan menawarkan ekosistem industri tersedia, serba lengkap, dan patuh standard hijau.

“Kerajaan negeri juga bersikap memilih. Kita tidak mahu pelaburan sembarangan masuk ke Selangor, yang tidak sesuai dengan visi negeri. Kita mahu pelaburan itu bersama-sama dengan kerajaan negeri, membina ekosistem yang lebih lengkap untuk semua industri yang kita hendak tumpukan; automotif, aeroangkasa, semikonduktor dan sebagainya,” jelasnya.

Untuk konteks, Selangor mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM83.9 bilion pada tahun 2025, lebih tinggi berbanding sasaran tahun berkenaan iaitu RM65 bilion. Daripada jumlah tersebut, Pelaburan Langsung Domestik (DDI) adalah berjumlah hampir RM49 bilion, 58.3 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang diluluskan. Manakala, Pelaburan Langsung Asing (FDI) ialah RM35 bilion.  

Saksikan Investment Insider setiap Isnin, 9 malam, di saluran 501 Astro AWANI, yang mengupas secara mendalam tentang strategi, insentif dan inisiatif pelaburan kerajaan negeri Selangor. 
 

Investment Insider: Powering Selangor's High Tech Frontier

Must Watch Video

Advertisement