KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) telah mengumumkan bahawa penggantungan dagangan saham akan diteruskan sehingga notis selanjutnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata penggantungan itu disebabkan syarikat itu tidak mematuhi arahan Bursa Malaysia untuk membuat pengumuman mengenai penemuan fakta terkini daripada Kajian Semula Khas Bebas (SIR).

"Dimaklumkan bahawa syarikat ini telah mengeluarkan laporan tahunan tertunggaknya yang merangkumi penyata kewangan tahunan yang diaudit bersama-sama dengan laporan juruaudit dan lembaga pengarah bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 pada 6 Jan, 2022," katanya.

Pada 22 Okt 2021, Bursa Malaysia telah mengeluarkan arahan kepada SDHB berkaitan dengan kemas kini status pada SIR syarikat tersebut.

Menurut Bursa Malaysia, arahan yang dikeluarkan adalah untuk SDHB untuk membuat pengumuman mengenai penemuan daripada Kemas Kini Penemuan Fakta selewat-lewatnya pada 26 Okt, 2021, dan mengumumkannya dengan serta merta.

"Bursa Malaysia menyatakan bahawa penemuan daripada Kemas Kini Penemuan Fakta pada 30 Sept 2021 mengenai SIR telah dimaklumkan kepada tiga daripada empat pengarah bebas bukan eksekutif pada 21 Okt 2021.

"Sehubungan itu, Bursa Malaysia mengambil maklum bahawa sehingga kini, SDHB belum mengumumkan penemuan daripada Kemas Kini Penemuan Fakta menurut Perenggan 9.03 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR)," katanya.

Pada 25 Nov 2021, SDHB memberitahu Bursa Malaysia memandangkan perubahan juruaudit luar dan kesan sekatan pergerakan di Malaysia dan luar negara akibat pandemik COVID-19, audit penyata kewangan bagi tempoh kewangan berakhir Jun 30 (AFS 2021) telah terjejas.

Ia berkata bahawa AFS 2021 tidak dapat dimuktamadkan dalam masa untuk dimasukkan ke dalam Laporan Tahunan bagi tempoh kewangan yang berakhir pada 30 Jun, 2021 untuk terbitan pada 30 Nov melalui suratnya bertarikh 25 Okt (permohonan lanjutan masa).

Bursa Malaysia telah menolak permohonan syarikat itu dan rayuan seterusnya untuk menangguhkan penyerahan laporan tahunan Tahun Kewangan 2021 daripada tarikh akhir awal yang ditetapkan pada 30 Nov 2021.

Permodalan pasaran syarikat itu ketika ini berjumlah RM1.3 bilion dengan sahamnya terakhir didagangkan pada 35 sen.

-- BERNAMA