Skip to main content

Bisnes

Dasar konsisten, mekanisme sama perkukuh pasaran ASEAN, tarik pelaburan - Amir Hamzah

BALIK PULAU, 15 Feb -- Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menjawab soalan media semasa melakukan lawatan Kampung Angkat MADANI di Kampung Pulau Betong hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Amir Hamzah berkata, ASEAN terdiri daripada negara yang pelbagai dengan populasi 700 juta orang, sekali gus menawarkan potensi pertumbuhan yang besar. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kekonsistenan dasar dan mekanisme yang sama di seluruh ASEAN boleh membantu mewujudkan pasaran yang lebih terhubung, sekali gus menjadikan blok ini lebih menarik bagi pelaburan modal serta menyediakan asas kestabilan untuk kemajuan masa depan serantau.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, menerima pakai dasar yang sama seperti pengukuran pelepasan karbon yang seragam, instrumen intervensi yang konsisten serta taksonomi yang selaras dalam bidang seperti perubahan iklim akan menjadikan pasaran ASEAN lebih lancar dan saling berkait.

Advertisement

Beliau berkata, semua itu membolehkan rantau ini dilihat sebagai satu pasaran tunggal, bukannya sekumpulan negara yang berasingan.

“Dasar yang sama seperti itu akan menarik modal dan menyediakan asas kestabilan bagi ASEAN untuk terus maju pada masa hadapan,” katanya pada Meja Bulat Peringkat Tinggi: Cabaran Dasar untuk Asia pada Masa Hadapan yang diadakan sempena Persidangan Asia pada 2050 di Bangkok, Thailand.

Beliau berkata, ASEAN terdiri daripada negara yang pelbagai dengan populasi 700 juta orang, sekali gus menawarkan potensi pertumbuhan yang besar.

Amir Hamzah berkata, blok ini boleh memperkukuh kerjasama antara negara dengan mengenal pasti titik persamaan dan memberi tumpuan kepada bidang yang tidak menimbulkan kontroversi.

Beliau berkata, Grid Tenaga ASEAN sebagai contoh inisiatif yang tidak kontroversi dan menyifatkannya sebagai asas yang saling menguntungkan bagi semua negara anggota

Contohnya, menerusi kerjasama Malaysia-Singapura bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), boleh menggabungkan usaha kedua-dua negara untuk menjadi lebih berkesan berbanding jika bertindak secara bersendirian, katanya.

“Daripada kerjasama antara negara, kita dapat memperkukuh kerjasama antara negara ASEAN, dan seterusnya menjadi lebih baik serta lebih kuat bersama-sama,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video