BISNES
EcoWorld perkukuh tindakan iklim melalui libat urus rantaian bekalan

EcoWorld memperkukuh strategi kelestariannya dengan meletakkan rantaian bekalan sebagai teras utama dalam usaha menangani perubahan iklim. - Foto EcoWorld
KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) memperkukuh strategi kelestariannya dengan meletakkan rantaian bekalan sebagai teras utama dalam usaha menangani perubahan iklim, memandangkan pelepasan karbon Skop 3 menyumbang sehingga 90 peratus daripada jejak karbon keseluruhan kumpulan itu.
Ringkasan AI
- EcoWorld memberi fokus kepada pelepasan karbon Skop 3, yang menyumbang sehingga 90% daripada jejak karbon kumpulan, dengan menekankan peranan rantaian bekalan dalam strategi kelestarian.
- Alat penilaian PROGRESS, dibangunkan bersama UNGCMYB dan Alliance Bank, digunakan untuk membantu pembekal menilai tahap kematangan iklim dan mengenal pasti langkah penambahbaikan ESG.
- Kerjasama strategik dan sokongan pembiayaan hijau daripada Alliance Bank serta bengkel oleh UNGCMYB membantu mengurangkan jurang pengetahuan dan meningkatkan komitmen pembekal terhadap kelestarian.
“Fokus kepada Skop 3 merupakan langkah seterusnya dalam perjalanan kelestarian syarikat.
“Kami sedar bahawa Skop 3 sangat bergantung kepada aktiviti rantaian bekalan.
“Pada masa sama, kami menghargai para pembekal yang telah bersama kami selama ini dan melihat peluang untuk membawa mereka bersama dalam usaha ini,” katanya dalam temu bual eksklusif kepada Astro AWANI.
Inisiatif ini disokong oleh alat penilaian PROGRESS yang dibangunkan bersama UN Global Compact Malaysia & Brunei (UNGCMYB) dan Alliance Bank, bagi membantu pembekal menilai tahap kematangan iklim mereka serta mengenal pasti langkah penambahbaikan.
Chang berkata kepimpinan EcoWorld memainkan peranan penting dalam mengatasi keraguan awal daripada pembekal yang kurang pendedahan terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Kami tegaskan bahawa kelestarian bukan sekadar trend, tetapi keutamaan strategik yang selari dengan nilai teras kami.
“PROGRESS menjadi bahasa bersama yang menunjukkan kedudukan semasa pembekal dan tindakan yang perlu diambil,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Hijau EcoWorld, Liew Tian Wei berkata, kerjasama strategik merupakan faktor utama kejayaan inisiatif ini.
Jelasnya, Alliance Bank bukan sahaja menyediakan alat PROGRESS, malah menawarkan pembiayaan hijau kepada pembekal yang menunjukkan komitmen terhadap ESG, manakala UNGCMYB menganjurkan bengkel pembinaan kapasiti.
“Pendekatan praktikal UNGCMYB membantu mengurangkan jurang pengetahuan dan membina keyakinan pembekal untuk bertindak,” katanya.
Sejak pelaksanaan Penilaian Kematangan Iklim, sebanyak 40 syarikat telah menjalani penilaian semula secara sukarela, dengan 75 peratus menunjukkan peningkatan ke tahap Intermediate, Advanced atau Leader berbanding status awal sebagai Laggard atau Beginner.
EcoWorld kini menjejak kemajuan ini melalui platform PROGRESS dan telah mengintegrasikan pertimbangan risiko ESG dalam proses perolehan.
Ujarnya, sasaran syarikat adalah untuk semua rakan rantaian bekalan mencapai sekurang-kurangnya tahap ‘Pertengahan’, selaras dengan pelan hala tuju Net Zero 2050.
“Usaha iklim yang sebenar bermula apabila setiap komponen dalam rantaian bergerak bersama,” kata Liew.
EcoWorld telah menjadi peserta UN Global Compact sejak 2021 dan terus menyelaraskan usaha kelestariannya dengan rangka kerja global, sekali gus membina daya tahan dalam ekosistem pembangunan hartanah negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami