KUALA LUMPUR: Ekonomi Madani, kerangka ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia, akan membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pengumuman 'Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu-isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

"Ia perihal mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan dua tumpuan utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti," kata beliau semasa mengumumkan inisiatif Kerajaan Perpaduan itu di sini hari ini.

Selain pelbagai ikhtiar dilaksanakan di bawah Belanjawan Madani 2023 dan siri pengumuman yang digerakkan sejak menerajui kerajaan pada November 2022, beliau berkata Ekonomi Madani menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum tempoh 10 tahun.

Tujuh penanda aras itu adalah Malaysia berada di kedudukan 30 ekonomi terbesar di dunia, Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia, peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus, Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia, dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah.

Menggariskan tindakan tumpuan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, Perdana Menteri berkata ia merangkumi ikhtiar untuk perlindungan sosial semua rakyat, pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan bagi membina sebuah masyarakat yang lebih saksama dan sejahtera.

Menyatakan kepentingan bahawa hasil negara kelak akan diagihkan secara saksama kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah, Anwar berkata pembaharuan struktur ekonomi itu antara lain harus mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji bermakna, memberi kesaksamaan peluang serta mengadakan jaringan perlindungan sosial untuk semua.

Pembaharuan struktur ekonomi itu juga bakal membolehkan pelaksanaan reformasi perkhidmatan kesihatan, reformasi pendidikan dan sumber manusia, menyediakan infrastruktur dan pengangkutan awam serta mengadakan akses kemudahan asas dan perumahan mampu milik untuk semua.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan dasar yang menyokong peningkatan upah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada tahap 45 peratus selaras dengan tahap negara lebih maju.

Usaha ke arah itu termasuklah melakukan kajian semula tahap gaji minimum serta memperkenalkan undang-undang yang menjamin persekitaran kerja dan mengurangkan kebergantungan pada buruh asing kurang mahir.

"Kerajaan berhasrat melaksanakan levi pekerja asing berperingkat iaitu sebahagian peningkatan hasil levi akan dikhususkan untuk program automasi serta latihan untuk pekerja tempatan," kata beliau.

Bagi memastikan prinsip keadilan sosial dan kesaksamaan peluang dalam membina kehidupan, Anwar berkata kerajaan akan memberi keutamaan kepada golongan terpinggir dalam pemberian bantuan khususnya biasiswa dan pendidikan sekolah berasrama penuh.

"Saya memegang pada prinsip bahawa hanya melalui pendidikan berkualiti rakyat berupaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan," kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan melaksanakan dasar perindustrian mengikut geografi iaitu pengkhususan aktiviti dan pelaburan mengikut wilayah bagi mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah serta antara negeri maju dan kurang membangun.

Usaha itu termasuk membangunkan Lembah Klang bagi meningkatkan daya huni, pembaharuan Kuala Lumpur sebagai tarikan pelancongan moden serta memperkukuh pembangunan Iskandar Malaysia di Johor.

Dalam usaha memastikan penglibatan seluruh rakyat dalam pasaran buruh khususnya kaum wanita, Anwar berkata usaha akan dilakukan dalam aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan untuk menggalakkan para ibu kembali bekerja, mengadakan inisiatif Ekonomi Penjagaan termasuk penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak.

"Matlamat kita adalah untuk meningkatkan kadar penyertaan buruh wanita mencecah 60 peratus supaya lebih setanding dengan ekonomi serantau," katanya.

Memberikan jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan memastikan semua rakyat Malaysia dilindungi, Menteri Kewangan itu berkata kerajaan akan memperluas jaringan perlindungan sosial untuk semua bagi melindungi rakyat iaitu pencegahan melalui Insurans Sosial menerusi perluasan liputan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas populasi umur bekerja secara berperingkat mengikut fasa, kemampanan simpanan persaraaan dan Bantuan Sosial menerusi program bantuan tunai program Rahmah.

Anwar berkata kerajaan juga berhasrat melakukan Reformasi Perkhidmatan Kesihatan dengan melakukan pelbagai inisiatif termasuk sasaran lima peratus KDNK untuk perbelanjaan perkhidmatan kesihatan dengan mengoptimumkan sistem kesihatan awam dan swasta.

Menegaskan bahawa pendidikan ialah hak asasi setiap rakyat, Perdana Menteri berkata sistem pendidikan negara perlu lebih berminda permintaan terutamanya dalam mengeratkan kerjasama dengan industri dan majikan selain menyediakan menyediakan laluan pembelajaran sepanjang hayat dalam apapun kemahiran yang ingin rakyat pelajari, sama ada di universiti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), mahupun kemahiran kelayakan mikro yang diperlukan.

Bagi memastikan negara mempunyai infrastruktur dan rangkaian pengangkutan awam negara, Anwar berkata penyatuan pengurusan pengangkutan awam darat supaya semua aset sedia ada dapat dioptimumkan bagi membina rangkaian pengangkutan awan antara bandar dan dalam dalam bandar, menambah baik jaringan terakhir serta melaksanakan pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang dan Subang, menambah baik prasarana bas Rapid Transport di Johor Bahru dan LRT di Pulau Pinang serta MRT3 di Lembah Klang.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Perpaduan berikrar memastikan semua rakyat menikmati akses yang universal dari segi infrastruktur asas sama ada bekalan air atau elektrik khususnya di kawasan luar bandar.

Kerajaan Perpaduan, kata beliau, komited menangani isu air di Kelantan serta Sabah dan bersetuju menyediakan keseluruhan RM800 juta tambahan bagi penyelesaian jangka pendek di kedua-dua negeri itu, selain menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir, seperti di Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor.

Bagi menangani keluh kesah rakyat untuk memiliki rumah, jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion akan disediakan yang antara lain untuk menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus dari harga rumah bernilai sehingga RM300,000.

Anwar berkata kerangka ekonomi itu akan hanya dapat direalisasikan menerusi tatakelola yang baik serta sistem penyampaian perkhidmatan yang tangkas.

"Pembaharuan struktur, sistem dan institusi perlu dilakukan segera kerana ini yang akan menggerakkan Malaysia ke sasaran yang ingin dicapai," kata beliau.

-- BERNAMA