KUALA LUMPUR:Felda bercadang untuk menswastakan FGV Holdings Berhad pada nilai RM1.30 sesaham.

Felda yang memiliki 21.24 peratus pegangan dalan FGV sebelum itu meningkatkan pegangan dengan mengambil alih pegangan sebanyak 6.1 peratus yang dimiliki Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan 7.78 peratus yang dimiliki Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

Transaksi itu melibatkan nilai RM658 juta atau RM1.30 sesaham, sekali gus menjadikan pegangan Felda dalam FGV sebanyak 35.12 peratus.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) yang merupakan penasihat utama transaksi itu dalam satu kenyataan berkata, Felda sudah menandatangani perjanjian pembelian saham bersyarat (CSPAs) bersama KWAP untuk mengambilalih sejumlah 222.48 juta saham FGV bernilai RM289.2 juta.

Manakala dengan Urusharta Jamaah melibatkan 283.71 juta saham FGV bernilai RM368.8 juta.

"Selepas CSPAs menjadi tidak bersyarat, Felda akan menghantar notis tawaran wajib kepada Lembaga Pengarah FGV.

"Setalah cadangan pengambilalihan itu selesai, Felda bersama pihak-pihak terlibat (PACs) akan secara kolektif memegang lebih 50 peratus saham FGV," menurut Maybank IB.

Maybank IB berkata, cadangan tersebut tidak akan menyebabkan pengambilalihan wajib Felda terhadap keseluruhan baki saham dalam MSM Malaysia Holdings Berhad yang tidak dipegang oleh FGV.

Setakat penutup 5 petang Selasa, saham FGV didagang pada RM1.27 sesaham.