Skip to main content

Teknologi

Insta360 perkenal Toast, bingkai foto digital E-Ink kompak dengan hayat bateri sehingga 195 hari

Dilengkapi panel E-Ink Spectra 6 enam warna bersaiz 3.7 inci beresolusi 720 x 480 piksel tanpa lampu latar, paparan pada peranti seberat 43 gram itu kelihatan lebih lembut dan menyerupai cetakan sebenar. -Foto Amanz
Dilengkapi panel E-Ink Spectra 6 enam warna bersaiz 3.7 inci beresolusi 720 x 480 piksel tanpa lampu latar, paparan pada peranti seberat 43 gram itu kelihatan lebih lembut dan menyerupai cetakan sebenar. -Foto Amanz

Ringkasan AI

  • Insta360 telah melancarkan Toast, bingkai foto digital kompak dengan paparan E Ink Spectra 6 berwarna dan kawalan tanpa wayar melalui aplikasi.
  • Toast menyokong storan tempatan sehingga 30 gambar dan storan awan 200 gambar, serta boleh memaparkan gambar terus dari kamera Insta360.
  • Peranti ini dijual di China pada harga sekitar RM265 seunit, namun tiada pengumuman rasmi untuk pasaran Malaysia setakat ini.
Advertisement

SHENZHEN: Syarikat teknologi kamera, Insta360, memperkenalkan Toast iaitu bingkai foto digital kompak baharu yang membolehkan pengguna memaparkan gambar pilihan dengan gaya menyerupai foto bercetak, lapor Amanz.

Dilengkapi panel E-Ink Spectra 6 enam warna bersaiz 3.7 inci beresolusi 720 x 480 piksel tanpa lampu latar, paparan pada peranti seberat 43 gram itu kelihatan lebih lembut dan menyerupai cetakan sebenar.

Peranti nipis berketebalan 5.25 milimeter itu juga serba boleh kerana boleh diletakkan di atas meja, dilekatkan pada permukaan magnetik seperti peti sejuk atau digantung pada beg menggunakan aksesori yang disertakan.

Advertisement

Menurut Insta360, Toast boleh dikawal secara wayarles melalui sambungan Wi‑Fi 6 dan Bluetooth menerusi aplikasi Insta360 atau program mini WeChat tanpa memerlukan kabel.

Ia turut menyokong penyelarasan dengan perkhidmatan awan Insta360+ yang membolehkan gambar pegun daripada kamera jenama itu dipaparkan terus pada bingkai berkenaan.

Advertisement

Pengguna juga boleh menyimpan sehingga 30 keping gambar secara tempatan dan 200 keping gambar dalam storan awan khusus, selain menghantar gambar ke peranti Toast lain yang berada di lokasi berbeza.

Dari segi ketahanan, bateri berkapasiti 400mAh yang dimuatkan mampu bertahan sehingga 195 hari berdasarkan penggunaan purata satu pertukaran gambar sehari, manakala paparan terakhir akan kekal terpapar walaupun bateri habis.

Di pasaran China, Insta360 Toast dijual pada harga RMB429 (kira-kira RM265) seunit, manakala pakej dua unit ditawarkan pada harga RMB815 (kira-kira RM503).

Setakat ini, masih tiada pengumuman rasmi daripada pihak Insta360 mengenai tarikh pelancaran atau penawaran peranti berkenaan untuk pasaran Malaysia.

 

Must Watch Video

Advertisement