KUALA LUMPUR: FEV3R, syarikat teknologi perubatan yang menyediakan perkhidmatan e-pesakit secara berpatutan melalui platform perkhidmatan penjagaan kesihatan, yang baharu dilancarkan, menetapkan aspirasi jangka panjang untuk mengubah landskap kesihatan diri di Malaysia.

Sebagai perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu yang menggunakan aplikasi mudah alih untuk memberi akses kepada doktor pada bila-bila masa dan di mana-mana jua, FEV3R dicipta untuk mengurangkan kos penjagaan primer untuk korporat dan pengguna, berdasarkan model langganan dengan harga berpatutan, serta akses mudah kepada data kesihatan pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adlan Hercus, berkata, “Dalam persekitaran baharu kini iaitu kita telah belajar untuk hidup dan bekerja ketika wabak melanda, dan kini sedang beralih kepada fasa endemik, perbincangan mengenai isu penjagaan kesihatan tidak pernah dianggap penting.

Menurutnya, walaupun minat berkaitan kesihatan diri telah meningkat dalam kalangan masyarakat, ia tetap menjadi topik yang hanya akan terlintas di fikiran apabila seseorang itu jatuh sakit.

Katanya, selain mengajak lebih ramai orang mengambil berat tentang kepentingan kesihatan dan kesejahteraan secara umum, perkara yang turut penting ialah pemerkasaan terhadap masyarakat untuk berbuat sedemikian.

"Memahami cabaran penjagaan primer semasa pandemik, FEV3R telah berusaha ke arah mengubah hubungan doktor-pesakit yang tradisional melibatkan penjagaan primer bagi meningkatkan tahap inovasi kesihatan yang lebih tinggi," katanya pada majlis pelancaran pada Khamis.

Menggunakan kemajuan teknologi, FEV3R bersedia untuk menyokong doktor dengan menyediakan akses segera kepada data kesihatan pesakit yang akan membolehkan proses diagnosis dijalankan dengan lebih baik.

Alat ini bertujuan membantu doktor meningkatkan diagnosis mereka dengan bantuan teknologi AI (kecerdasan buatan), seterusnya, mengurangkan kerja fizikal supaya doktor dapat memberi tumpuan kepada pesakit.

FEV3R menggunakan teknologi bertaraf dunia yang sesuai dan menyokong keperluan dan keutamaan setiap individu, serta pada masa yang sama mengutamakan keselamatan data peribadi.

Adlan berkata, kesemua doktor kami bertauliah dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan ini bermakna mereka boleh memberikan rundingan profesional dengan mudah kepada pelanggan kami dan pekerja mereka.

"Kami juga telah mengguna pakai proses data yang ketat untuk memastikan semua data perubatan pesakit disimpan dengan selamat.

Pengarah Perubatan FEV3R, Dr Sashidharan Janisein berkata, penjagaan kesihatan digital dibangunkan untuk menambah baik pendekatan pihaknya dalam menyampaikan penjagaan kesihatan primer.

"Kebimbangan pesakit ditangani dengan menjadikan ia lebih mudah diakses dan berpatutan.

"Selain itu, penjagaan kesihatan secara digital juga memastikan tahap kecekapan tinggi untuk doktor.

"Ia bukan lagi perniagaan seperti biasa buat kami, sebaliknya memberikan diagnosis, prognosis dan rujukan yang lebih baik, seperti yang dituntut oleh pesakit,” kata beliau.

Kebolehmampuan juga merupakan salah satu aspek utama platform FEV3R. Menerusi model langganan yang mudah, majikan boleh menjangkakan pengurangan sehingga 80% kos penjagaan kesihatan pekerja dengan langganan sebanyak RM288 bagi setiap pekerja untuk tempoh setahun.

Selain itu, platform ini digerakkan dengan model tanpa tunai yang memberikan kemudahan selanjutnya untuk pesakit.

Adlan turut berkata, “Model langganan FEV3R boleh diterjemahkan kepada penjimatan untuk syarikat dan dalam waktu yang sama masih menyediakan pekerja dengan penjagaan kesihatan terbaik, selayaknya.

"Simpanan itu boleh digunakan untuk membiayai penglibatan aktiviti dalaman dan aktiviti-aktiviti pekerja yang lain.”

Pada masa ini, FEV3R yang memberi tumpuan kepada pekerja, mempunyai rangkaian 120 klinik (persendirian dan rakan kongsi) dengan penglibatan lebih daripada 250 doktor.

"FEV3R juga diberi kelulusan untuk mengeluarkan ubat dan menjalankan ujian makmal.

"Selain itu, doktor kami juga boleh memberikan rujukan kepada pakar terbaik untuk kes yang lebih kompleks,'' kata beliau. - DagangNews.com