MANILA: Filipina memperkukuh penimbal bekalan bahan apinya dengan penerimaan kira-kira 178.33 juta liter diesel, ketika pihak berkuasa mengambil langkah memastikan bekalan domestik kekal terjamin susulan ketidaktentuan berterusan dalam pasaran minyak global dan ketegangan di Asia Barat, menurut Jabatan Tenaga (DOE) pada Isnin, lapor Xinhua.
Menurut DOE, penghantaran yang selesai itu mengukuhkan kedudukan bekalan negara pada ketika pasaran antarabangsa masih terdedah kepada gangguan.
Advertisement
Setiausaha Tenaga Sharon Garin, menegaskan yang ketibaan bahan api tepat pada masanya adalah penting bukan sahaja untuk mengekalkan tahap stok, tetapi juga bagi memastikan operasi sektor utama seperti pengangkutan, logistik, penjanaan tenaga, pertanian dan industri tidak terganggu.
Seiring konflik di Asia Barat yang terus berkembang, Garin berkata keutamaan kerajaan adalah memastikan Filipina sentiasa bersedia, mempunyai bekalan mencukupi serta mampu bertindak pantas terhadap sebarang perkembangan yang boleh menjejaskan ketersediaan bahan api dan kestabilan pasaran.
-- BERNAMA-XINHUA