KUALA LUMPUR: Fungsi promosi pelaburan dan pemasaran di peringkat agensi penggalak pelaburan (IPA) Persekutuan akan dipusatkan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjelang 1 Jan 2024, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI dalam kenyataan pada Khamis berkata perkara ini dibincangkan semasa perjumpaan pertama Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan (ICCM) yang baharu sahaja diaktifkan semula.

Pengaktifan semula ICCM merupakan antara keputusan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil. 2/2023 yang bertujuan memperkukuh landskap IPA negara dengan melaksanakan antaranya, penyelarasan fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan secepat mungkin.

"Penyelarasan ini penting bagi memastikan tiada pertindihan fungsi yang bakal merumitkan perjalanan pelabur di Malaysia. Prinsip pendekatan menyeluruh kerajaan dan pendekatan menyeluruh negara ini juga bertujuan menambah baik ekosistem pelaburan dan perindustrian yang kondusif bagi para pelabur," katanya.

ICCM dipengerusikan oleh Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan dianggotai kementerian dan agensi berkaitan pelaburan di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menurut MITI, dalam menyokong matlamat Ekonomi MADANI, ICCM akan menyelaraskan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, antaranya bagi memperkukuh ekosistem perniagaan dan perindustrian (termasuk infrastruktur dan bakat) bagi menyokong pertumbuhan sektor baharu dan sedia ada dan mempergiat tarikan masuk pelaburan langsung asing (FDI) dan mengukuhkan kepentingan pelaburan langsung domestik (DDI).

ICCM juga akan menyelaraskan sasaran pelaburan strategik yang menyumbang kepada pencapaian teras Aspirasi Pelaburan Nasional serta menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan membangunkan jaguh tempatan, katanya.

Mesyuarat pertama ICCM baru-baru ini turut membincangkan penyelarasan rancangan pembangunan industri antara kerajaan Persekutuan dan negeri, termasuk membangunkan kluster ekonomi seperti yang dinyatakan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

ICCM juga membincangkan status projek pelaburan yang akan dipercepatkan melalui kerjasama erat antara MIDA dan semua IPA di peringkat Persekutuan dan negeri untuk memantau, memudah cara dan melaporkan pelaksanaan projek.

"ICCM ini melengkapi peranan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) yang telah ditubuhkan pada 16 Okt lepas dan turut dipengerusikan Tengku Zafrul.

"Tujuan utama penubuhan JTPPP adalah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pelaburan dan perdagangan, terutamanya yang bersifat strategik dan ikonik," katanya.

-- BERNAMA