Skip to main content

Malaysia

Tiada ancaman siber signifikan jejas data rakyat, infrastruktur dikesan setakat ini - Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil ditemui pemberita selepas menyertai program Sidang Idea Malaysia 5 bertemakan "The AI Wave, Malaysia's Next Move" sempena Festival of Idea Putrajaya 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil ditemui pemberita selepas menyertai program Sidang Idea Malaysia 5 bertemakan "The AI Wave, Malaysia's Next Move" sempena Festival of Idea Putrajaya 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Tiada ancaman siber signifikan atau kebocoran data rakyat Malaysia dikesan setakat ini, menurut Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
  • Kerajaan mempercepatkan peralihan kepada sistem telekomunikasi selamat kuantum untuk meningkatkan keselamatan data dan mencegah pencerobohan.
  • NACSA terus memantau ancaman siber, termasuk potensi serangan berasaskan AI, dan telah menaikkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara kepada Sederhana.
Advertisement

PUTRAJAYA: Tiada ancaman siber signifikan yang menjejaskan data rakyat atau infrastruktur digital negara dikesan setakat ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata dakwaan mengenai kebocoran data rakyat Malaysia yang dipaparkan di beberapa laman web gelap masih belum dapat disahkan, manakala tiada insiden sedemikian dilaporkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Saya mendapat laporan tapi setakat hari ini tidak ada apa-apa ancaman yang terlalu besar sehingga mengakibatkan data rakyat terkesan atau dicuri pada waktu ini.

Advertisement

“Kadang-kadang ia data lama yang telah berlaku, tidak ada setakat ini insiden yang dilaporkan oleh pihak NACSA,” katanya kepada pemberita selepas sesi forum Sidang Idea Malaysia (SIM) sempena Festival Idea Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas langkah proaktif kerajaan dalam memantau dan menangani ancaman siber global, Fahmi berkata Malaysia sedang mempercepatkan peralihan kepada sistem dan infrastruktur telekomunikasi yang selamat kuantum.

Advertisement

Beliau berkata teknologi komunikasi selamat kuantum menggunakan penyulitan kuantum bagi meningkatkan tahap keselamatan penghantaran data dan menyukarkan usaha pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan dengan itu, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta NACSA turut diminta mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi dan pengendali gentian optik bagi memastikan saluran komunikasi negara kekal selamat daripada ancaman berasaskan teknologi kuantum.

Menyentuh ancaman siber susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata penyalahgunaan ejen AI bagi melancarkan serangan siber terancang merupakan antara kebimbangan utama di peringkat global, namun ancaman sedemikian belum dikesan berlaku di Malaysia.

“Semestinya bagi Malaysia, pihak bertanggungjawab iaitu NACSA akan membuat pemantauan dan sekiranya berlaku satu keadaan ancaman itu semakin dekat atau mula mengancam keselamatan siber agensi-agensi dan infrastruktur digital dalam negara kita...kita akan ambil tindakan untuk jamin keselamatan itu,” katanya.

Di peringkat global, landskap keselamatan siber kini berdepan peningkatan ancaman berasaskan AI, khususnya penyalahgunaan rangka kerja ejen AI autonomi yang berupaya melaksanakan serangan siber secara terancang tanpa pengawasan manusia secara berterusan.

Laporan terbaharu Kumpulan Perisikan Ancaman Google (GTIG) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat pada pertengahan bulan ini mendedahkan penggunaan alat ujian penembusan berasaskan AI seperti ARTEX oleh penggodam bagi mengautomasikan pencerobohan merentas sektor kewangan, kerajaan, tenaga, kesihatan dan telekomunikasi.

Sementara itu, gelombang serangan siber pada Oktober dan November tahun ini dilaporkan menyasarkan sistem penyejukan dan rantaian sejuk di kira-kira 700 pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah, mengakibatkan gangguan bekalan makanan serta kerugian puluhan juta euro.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berdepan ribuan percubaan serangan siber setiap bulan, sekali gus menuntut tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan yang lebih pantas dan ampuh.

Pada 4 Nov lepas, NACSA meningkatkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara daripada Rendah kepada Sederhana susulan perkembangan keselamatan semasa bagi memastikan perkhidmatan penting negara terus dilindungi daripada sebarang kemungkinan gangguan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement