KUALA LUMPUR: Implikasi daripada konflik di Asia Barat yang mengganggu bekalan komoditi global dan laluan perdagangan strategik ke atas kestabilan kewangan Malaysia masih terkawal, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat memaklumkan konflik itu menjadi antara punca utama risiko terhadap prospek ekonomi dan kewangan global, yang mendorong kenaikan kos tenaga, logistik serta input lain, di samping meningkatkan tekanan penawaran dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global.
“Bagi Malaysia, kesan limpahan mungkin ketara memandangkan tahap integrasi ekonomi yang tinggi dengan pasaran perdagangan dan kewangan global.
"Bagaimanapun, implikasi terhadap kestabilan kewangan domestik masih terkawal," maklum BNM dalam penerbitan BNM Insights bertajuk "Beyond Oil: From Geopolitical Conflict to Financial Stability Risk".
Menurut bank pusat, pendedahan sistem kewangan Malaysia terhadap krisis Asia Barat adalah terhad dengan kesannya adalah melalui ekonomi sebenar dan pasaran kewangan global dan bukannya melalui pendedahan kredit atau pembiayaan secara langsung.
Kejutan akibat konflik tersebut tidak berlaku secara terpencil, sebaliknya seiring dengan perkembangan ekonomi dan kewangan global yang lain, memandangkan implikasinya terhadap kestabilan kewangan domestik bergantung kepada bagaimana kejutan ini memberi kesan langsung terhadap kerentanan sedia ada.
"Bukti setakat ini menunjukkan bahawa risiko sedemikian yang boleh memburukkan lagi tekanan kewangan masih terhad, dengan sistem kewangan menyerap kejutan tersebut dengan tahap daya tahan yang tinggi," maklum bank pusat.
Menurut BNM keadaan perniagaan kekal stabil, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, eksport kukuh elektrik dan elektronik serta aktiviti rancak pelaburan.
Kualiti keseluruhan pinjaman perniagaan kekal kukuh, sebagaimana dibuktikan oleh nisbah kemerosotan nilai pinjaman perniagaan yang berada pada 2.8 peratus setakat Jun 2026, manakala bahagian pinjaman yang dikategorikan sebagai mempunyai risiko kredit yang meningkat kekal di bawah purata jangka pendeknya.
Bank-bank berkedudukan kukuh untuk menyerap kesan keadaan ekonomi dan kewangan yang tidak menguntungkan dan nisbah jumlah modal berada pada 17.9 peratus daripada aset berwajaran risiko, jauh melebihi keperluan kawal selia.
"Daya tahan ini turut disokong oleh tahap keuntungan yang kukuh, dengan pulangan atas ekuiti dan pulangan atas aset masing-masing berada pada paras 11.5 peratus dan 1.3 peratus," maklumnya.
Risiko kredit kekal terkawal, dengan nisbah kemerosotan nilai agregat kekal stabil pada 1.4 peratus, manakala bahagian pinjaman Tahap 2 menurun kepada 5.9 peratus.
Selain itu, keadaan kecairan dalam sistem perbankan kekal mencukupi, disokong oleh operasi BNM, dan terus menyediakan penampan terhadap potensi kejutan pembiayaan dan kecairan.
Sementara itu, syarikat insurans dan pengendali takaful kekal teguh disokong oleh kedudukan modal yang kukuh.
Setakat Jun 2026, nisbah kecukupan modal agregat sektor tersebut berada pada 225 peratus, jauh melebihi tahap minimum kawal selia.
"Prestasi tuntutan secara umumnya stabil, manakala pertumbuhan kukuh perniagaan baharu, bayaran penyerahan polisi yang rendah serta prestasi pelaburan yang memberangsangkan terus menyokong keuntungan," maklum bank pusat.
-- BERNAMA