KUALA LUMPUR: Fasa seterusnya dalam pembangunan pasaran modal Malaysia perlu berteraskan kualiti dan penciptaan nilai yang mampan, selain memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh rakyat secara menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pelabur kini bukan sahaja menilai prestasi keuntungan sesebuah syarikat, malah turut memberi perhatian kepada aspek tadbir urus, peruntukan modal yang berkesan serta kejelasan strategi jangka panjang.
"Keuntungan adalah penting, tetapi dalam pasaran hari ini, syarikat juga perlu mempunyai kredibiliti, mampan dan yakin dengan hala tuju mereka.
"Ukuran sebenar kejayaan bukan sahaja berapa banyak modal yang kita tarik, tetapi sejauh mana modal itu mencipta pekerjaan, membuka peluang dan memperbaiki kehidupan rakyat," katanya dalam ucapan perasmian Invest Malaysia 2026 di ibu negara, pada Selasa.
Ahmad Zahid menjelaskan, inisiatif seperti MyValueUP diwujudkan bagi mengubah budaya pasaran daripada sekadar pematuhan kepada budaya penciptaan nilai secara aktif, sekali gus menggalakkan syarikat memberi tumpuan kepada strategi jangka panjang dan pembinaan nilai yang berkekalan.
Bagi memperkukuh agenda itu, beliau mengumumkan tiga syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan memperuntukkan sebahagian modal mereka untuk menyokong syarikat yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap penciptaan nilai serta penerapan prinsip MyValueUP.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang dijana melalui pasaran modal perlu sampai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), usahawan, golongan muda, komuniti luar bandar serta pusat-pusat pertumbuhan wilayah.
"Pasaran modal yang kukuh perlu menyokong bukan sahaja syarikat korporat besar, malah keseluruhan ekosistem perusahaan, inovasi dan peluang ekonomi negara," katanya lagi.
Bertemakan “From Reform To Execution: Malaysia’s Next Leap”, Invest Malaysia 2026 meneliti peluang yang wujud dalam persekitaran global, dengan fokus utama perbincangan termasuk usaha menangani risiko geopolitik dan rantaian bekalan, serta mempertingkatkan laluan daripada minat pelaburan kepada pembentukan modal.