Skip to main content

Bisnes

JIWA SME Sabah 2026: Sifu Halia juara Pentas Jual, The Oasis ungguli Pentas CIPTA

JIWA SME
Jelajah Jiwa SME Sabah 2026 bertemakan “Agromakanan dan Kelestarian” berlangsung dengan meriah pada 15 dan 16 Ogos di Suria Sabah Shopping Mall, sekali gus menandakan tahun keempat program itu dibawakan kepada komuniti usahawan Sabah. - Astro AWANI
Advertisement

KOTA KINABALU: Golden Agro Farmland Sdn Bhd menerusi platform Sifu Halia meraih Anugerah Penyertaan Terbaik Pentas Jual, manakala The Oasis dinobatkan sebagai pemenang Pentas CIPTA pada Jelajah Jiwa SME Sabah 2026.

Golden Agro Farmland menerima tajaan kandungan editorial Astro AWANI bernilai media RM50,000, sementara The Oasis memperoleh artikel bernilai media RM10,000.

Victor Organik Sdn Bhd pula menerima Anugerah Penyertaan Impak Tinggi, manakala LJD Corporation meraih Anugerah Penyertaan Pilihan Khas, dengan kedua-duanya masing-masing memperoleh artikel bernilai media RM10,000.

Image
JIWA SME
Golden Agro Farmland Sdn Bhd menerusi platform Sifu Halia meraih Anugerah Penyertaan Terbaik Pentas Jual. - Foto Astro AWANI


Pentas Jual memberi ruang kepada usahawan membentangkan produk, model perniagaan dan potensi pasaran mereka, manakala Pentas CIPTA mengetengahkan inovasi pelajar universiti yang menawarkan penyelesaian kepada cabaran masyarakat.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Golden Agro Farmland, Calvin Chin, yang dikenali sebagai Sifu Halia, mengetengahkan model perniagaan yang membimbing keluarga petani di kawasan pedalaman dalam kaedah penanaman moden sebelum membeli semula hasil tuaian mereka untuk diproses menjadi produk hiliran.

“Hari ini, saya bukan berdiri di sini semata-mata sebagai seorang usahawan, tetapi sebagai petani yang membawa suara keluarga petani dari kawasan pedalaman,” katanya ketika membuat pembentangan.

Menurut Calvin, rangkaian Sifu Halia kini melibatkan lebih 9,000 keluarga petani di Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia.

Syarikat itu turut menghasilkan lebih 20 produk bernilai tambah, termasuk serbuk halia organik, halia bersama kurma, halia bersama kayu manis dan halia madu.

Image
JIWA SME
The Oasis dinobatkan sebagai pemenang Pentas CIPTA pada Jelajah Jiwa SME Sabah 2026. - Foto Astro AWANI


Bagi Pentas CIPTA, Penyelaras Operasi dan Ladang Mikro The Oasis, Aqmal Adam Abdul Rajab, membentangkan ekosistem pertanian komuniti yang menggabungkan pengeluaran makanan, kemahiran hijau, keusahawanan pelajar dan sokongan sosial.

Menerusi model manfaat berantai, hasil tanaman pelajar dibeli oleh CEDeC serta Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum disalurkan kepada Dapur Rahmah bagi menyediakan makanan percuma kepada pelajar lain.

The Oasis turut memperoleh pembiayaan RM150,000 bagi membangunkan rumah tanaman sebagai persediaan menuju operasi komersial dan pelaksanaan program perantisan pelajar.

Pentas Jual dinilai oleh Ketua Unifi Business Sabah, Amirshah bin Idris; Naib Presiden Kanan Kandungan Kreatif dan Editorial Komersial Astro AWANI, Leow Voon Chen (Cherish); serta Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, Ritchie Richard.

Image
JIWA SME
Peserta Pentas CIPTA pada Jelajah Jiwa SME Sabah 2026 di Suria Sabah Shopping Mall. - Foto Astro AWANI

Bagi Pentas CIPTA, Pengarah dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Mohd Ariffin, menyertai Amirshah dan Ritchie sebagai panel juri.

Jelajah Jiwa SME Sabah 2026 bertemakan “Agromakanan dan Kelestarian” berlangsung pada 15 dan 16 Ogos di Suria Sabah Shopping Mall, sekali gus menandakan tahun keempat program itu dibawakan kepada komuniti usahawan Sabah.

Program anjuran Astro AWANI bersama penaja utama Unifi Business itu merupakan destinasi kedua Jelajah Jiwa SME 2026 selepas Kuala Lumpur.

Must Watch Video

Advertisement